Sekilas
- Karl Shafek berkongsi pengalaman menjaga bapanya yang terlantar sakit di kampung Pekan, Pahang sejak sebulan lalu.
- Pengalaman itu mengajarnya menghargai peluang berbakti kepada ibu bapa yang uzur sebagai satu rezeki dari Allah SWT.
- Karl berharap bapanya sembuh dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik seperti sediakala.
Pelakon, Karl Shafek berkongsi pengalaman menjaga bapanya yang kini terlantar sakit atau bedridden di kampung di Pekan, Pahang sejak sebulan lalu.
Menerusi perkongsian di Threads, Karl berkata pengalaman tersebut mengajarnya untuk melihat daripada sudut yang berbeza, termasuk peluang untuk berbakti kepada ibu bapa yang semakin uzur.
Malah Karl juga menyifatkan peluang menjaga bapanya sebagai satu bentuk rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
“Dah sebulan menjaga Abah saya yang sekarang ni bedridden di kampung di Pekan Pahang mengajar saya satu perkara.
“Kadang-kadang kita minta Allah SWT supaya dikurniakan rezeki seluasnya. Rupanya rezeki diberikannya dengan cara begini,” coretnya.

Dalam hantaran yang sama, Karl mengakui keadaan bapanya yang terlantar menyebabkan ibunya juga berdepan cabaran untuk menguruskan keperluan harian suaminya, apatah lagi apabila tenaganya juga sudah semakin terbatas.
“Dapat menjaga orang tua yang uzur juga rezeki. Emak pun tak sekuat dulu nak uruskan Abah. Allah SWT sahaja yang maha tahu apa yang dirancangnya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Karl juga berharap agar bapanya diberikan kesembuhan dan berpeluang menjalani kehidupan dengan lebih baik seperti sediakala.
“Doakan Abah saya kembali sihat, boleh berjalan semula dan boleh menikmati sisa hidupnya dengan bahagia di bawah rahmatNYA. Amin,” doanya.