Sekilas
- Dato’ Abd. Rahman Soltan, pengasas All Star Championship 2026, menegaskan kredibiliti dan ketelusan kejohanan sudah terbukti melalui penganjuran sebelum ini di Kuala Lumpur dan Dubai.
- Penyertaan dalam kejohanan bukan berdasarkan populariti media sosial, tetapi memerlukan komitmen latihan serius antara dua hingga tiga kali seminggu.
- ASC26 akan berlangsung pada 17 Oktober di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur dengan 34 pempengaruh dari sembilan negara, dan siaran langsung eksklusif boleh ditonton secara PPV di platform Tonton.
Pengasas All Star Championship 2026 (ASC26), Dato’ Abd. Rahman Soltan tampil menjawab kritikan seorang pempengaruh wanita yang didakwa mempersoalkan kredibiliti dan ketelusan penganjuran kejohanan tinju berkenaan.
Menurut Abd. Rahman, kritikan di media sosial merupakan perkara biasa, namun dia menegaskan pihak penganjur sudah membuktikan kemampuan menerusi penganjuran kejohanan di Kuala Lumpur dan Dubai sebelum ini.
“Kalau nak persoal kredibiliti atau apa-apa, itu hak masing-masing. Kita tidak boleh lari daripada haters dalam media sosial.
“Yang penting, apa yang kita buat, kita tunaikan.
“Malah penyertaan, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia juga sudah cukup membuktikan,” katanya.
Abd. Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas komen seorang pempengaruh wanita di Instagram yang sebelum ini mempertikaikan kredibiliti dan ketelusan kejohanan tersebut.
Mengulas lanjut, dia tidak menolak kemungkinan kritikan itu timbul disebabkan rasa kecewa kerana tidak berpeluang menyertai pertandingan berkenaan.
Bagaimanapun, Abd. Rahman mengakui setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
“Mereka mungkin cemburu dan terkilan sebab tidak dapat menyertai ASC26.
“Nak masuk kejohanan tapi tidak layak, jadi hati manusia kan, macam-macam.
“Cuma seperti saya cakap, kita sudah buktikan kredibiliti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abd. Rahman menjelaskan bahawa penyertaan dalam All Star Championship bukan sekadar bergantung kepada populariti seseorang pempengaruh di media sosial.

Sebaliknya, setiap peserta yang sudah menandatangani kontrak perlu memberikan komitmen terhadap latihan antara dua hingga tiga kali seminggu sebagai persediaan sebelum bertarung.
Katanya, persiapan kejohanan tahun ini sudah bermula sejak kira-kira tiga bulan lalu bagi memastikan semua peserta mempunyai masa mencukupi untuk menjalani latihan.
Dia turut menjadikan juara edisi terdahulu, Imranul Affendy sebagai contoh peserta yang menunjukkan kesungguhan walaupun mempunyai latar belakang sebagai penari dan pelakon.
“Apabila mereka sudah membuat keputusan untuk bertarung, mereka akan berlatih bersungguh-sungguh.
“Kita membimbing dan memantau mereka kerana setiap peserta perlu diberikan peluang serta dorongan,” katanya.
All Star Championship 2026 dijadualkan berlangsung di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur pada 17 Oktober ini dengan penyertaan 34 pempengaruh dari sembilan negara yang bakal berentap dalam 17 perlawanan.
Gabungan peserta terbabit dianggarkan mempunyai lebih 20 juta pengikut di seluruh dunia.
Orang ramai boleh menyaksikan kejohanan tersebut secara percuma di lokasi acara, manakala siaran langsung eksklusif menerusi platform Tonton ditawarkan pada harga RM10 secara bayar setiap tontonan (PPV).