Sekilas
- Radin percaya setiap pengacara ada kelebihan dan kekurangan dalam mengendalikan majlis, termasuk majlis perkahwinan, sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
- Dia sentiasa mendapatkan pandangan daripada pengacara senior untuk memperbaiki kemahiran dan mengurangkan rasa gugup ketika mengendalikan pelbagai acara.
- Radin menegaskan ilmu perlu dicari dan pengalaman diperoleh melalui amalan, sambil menegaskan pentingnya sikap terbuka dalam menerima nasihat.
Pengacara dan penyampai radio, Radin berpendapat setiap individu yang mengendalikan sesebuah majlis pasti mempunyai kelebihan serta kekurangannya.
Menurut Radin atau nama lengkapnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, perkara itu merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu dilalui oleh setiap pengacara, termasuk ketika mengendalikan majlis perkahwinan.
“Dalam kita mengendalikan majlis perkahwinan, pasti ada sedikit kekurangan atau kelebihan. Kadang-kadang kita terlebih buat sesuatu, kadang-kadang pula kita kurang.
“Saya rasa perkara itu sama seperti kita memasak. Ada garam, ada gula, tetapi kadang-kadang bergantung juga pada emosi kita. Ada masa kita sedang tidak okey, makanan yang dimasak pun mungkin tidak menjadi.
“Namun, apabila emosi kita baik, walaupun garam dan gula tidak cukup, kita masih rasa semuanya okey,” katanya kepada Gempak.
Justeru, Radin menganggap setiap pengalaman sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu dilalui oleh setiap individu.
Katanya, dia sendiri masih mendapatkan pandangan daripada pengacara senior setiap kali menerima tugasan, sama ada mengendalikan majlis perkahwinan, makan malam mahupun acara lain.
“Saya masih dalam proses belajar sehingga sekarang. Saya juga masih bertanya kepada senior-senior setiap kali mendapat tugasan, tidak kiralah acara perkahwinan, majlis makan malam atau apa sahaja.
“Contohnya, walaupun saya sudah mengendalikan program MeleTOP, saya tetap akan bertanya kepada Nabil Ahmad, ‘Bil, macam mana nak buat perkara ini?’ Walaupun dia berada di luar negara, saya tetap akan mendapatkan pandangannya,” ujarnya.
Tambah Radin, sikap terbuka untuk mendapatkan nasihat bukan sahaja dapat membantu mengurangkan rasa gugup dan gementar, malah membolehkan seseorang pengacara lebih peka terhadap keadaan serta suasana sesuatu acara.
“Bagi saya, ilmu itu perlu dicari, tetapi pengalaman akan datang melalui apa yang kita lakukan,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang pengacara majlis mencuri perhatian selepas menerima kecaman netizen susulan perkongsiannya mengenai majlis perkahwinan seorang klien.
Menerusi hantaran di Instagram, pengacara berkenaan didakwa seolah-olah menjatuhkan air muka kliennya sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.