Sekilas
- Danial Kifli memohon maaf jika tidak dapat memenuhi jangkaan sepanjang menyertai Big Stage Rocketfuel dan mengakui masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.
- Dia menghormati jika ada yang tidak menyukainya tetapi berharap perbezaan pendapat tidak sampai menghina atau menjatuhkan dirinya sebagai individu.
- Hussain dinobatkan juara Big Stage Rocketfuel, diikuti Adam Nazmie sebagai naib juara, manakala Danial Kifli berada di tempat keenam.
Bintang Big Stage Rocketfuel, Danial Kifli memohon maaf sekiranya dirinya tidak mampu memenuhi jangkaan semua pihak sepanjang menyertai program berkenaan.
Menurut Danial, dia menyedari masih mempunyai banyak kekurangan dan perlu terus belajar untuk memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.
“Saya minta maaf sekiranya saya tidak dapat memenuhi jangkaan semua orang. Saya tahu masih banyak kekurangan dalam diri dan saya juga tahu masih banyak perkara yang perlu saya pelajari.
“Buat mereka yang tidak menyukai saya, saya minta maaf sekiranya saya pernah melakukan sesuatu yang membuatkan anda berasa begitu.
“Anda tidak perlu menyukai saya dan saya menghormati perkara itu,” tulisnya.

Bagaimanapun Danial berharap perbezaan pendapat atau rasa tidak suka terhadapnya tidak sampai menghina atau menjatuhkan dirinya sebagai seorang individu.
“Namun, saya harap ia tidak sampai ke tahap menghina atau menjatuhkan saya sebagai seorang individu.
“Saya hanya manusia biasa yang masih belajar, masih berkembang dan masih mencuba yang terbaik,” coretnya.
Untuk info, pentas akhir Big Stage Rocketfuel menyaksikan Hussain dinobatkan sebagai juara manakala Adam Nazmie pula naib juara.
Tempat ketiga menjadi milik Ranisha dan Danny pula diumumkan sebagai pemenang tempat keempat disusuli Yad-Z tempat kelima dan Danial Kifli di tempat keenam.