Penyanyi Daniesh Suffian, 27, mengakui tumpang gembira melihat kebahagiaan sahabat baiknya, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Menurutnya, demi menghormati komuniti penyokong pasangan itu yang dikenali sebagai BASS, dia kini memilih untuk tidak terlalu kerap tampil bersama Bella di khalayak.
Advertisement
“Hubungan saya dengan Bella adalah kami bersahabat baik. Sebenarnya, saya sangat gembira untuk dia. Kalau sebelum ini kami banyak buat ‘content’ bersama, tapi sekarang kurang kerana saya hormati situasi dia.
"Kadang-kadang netizen salah faham bila nampak kami jarang buat video, ingat kami bergaduh.
"Sebenarnya tidak, sebab di belakang tabir kami masih selalu berjumpa, lepak macam keluarga. Cuma saya tak nak ‘interframe’ dan ganggu komuniti BASS. Tapi kalau urusan kerja, hubungan kami masih rapat seperti biasa.
"Malah saya juga ada lagu duet bersama dia yang kini masih dalam proses,” katanya kepada Gempak.
Daniesh ditemui selepas pelancaran lagu duet Gunung Kinabalu bersama dua pupunya, penyanyi Azharina Azhar, di ibu kota baru-baru ini.
Ditanya mengenai kenyataannya ‘tak nak kacau daun’, Daniesh menjelaskan dia sekadar tidak mahu sering dilihat muncul bersama Bella kerana bimbang ia memberi kesan pada imej dan kerjaya sahabatnya itu.
“Saya tak nak nanti bila kerap nampak dengan Bella, ia beri kesan pada karier dia. Saya tak kisah untuk diri saya, tapi saya kisah pada karier Bella.
"Kalau ada apa yang saya buat beri impak negatif, saya tak nak teruskan. Tapi kalau positifkan hubungan kami, saya okay saja,” ujarnya.
Menyentuh perkembangan Bella kini, Daniesh menyatakan rasa lega dan bahagia kerana wanita itu akhirnya menemui sinar selepas berdepan pelbagai ujian hidup.
“Seperti yang semua tahu, Bella melalui banyak ‘up and down’. Saya nampak sendiri kesedihan dan kegembiraannya. Alhamdulillah, sekarang saya sangat gembira untuk dia dan saya doakan kebahagiaannya berkekalan,” katanya yang turut rapat dengan anak perempuan Bella, Ara Adreanna, 5.
Dalam pada itu, Daniesh yang sudah tujuh tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian memberitahu sehingga kini dia menghasilkan lapan lagu solo dan duet.
Namun, dia tidak menafikan rezekinya dalam bidang seni agak perlahan, justeru masih perlu terus berusaha mencari peluang untuk menyerlahkan bakat.