Penyanyi dan komposer, Aina Abdul meluahkan rasa terharu apabila kelab peminat, Ainations meluangkan masa menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Bangkok, Thailand menjelang kemunculannya di pentas Eurovision Asia.
Aina menyifatkan pengalaman menyertai pertandingan berkenaan seolah-olah memberikan peluang buat dirinya merasai pengalaman sebagai seorang atlet yang bakal berjuang membawa nama negara.
"Dapat merasa jadi atlet kan.
"Terima kasih kesayanganku Ainations menemani perjalananku. Sebak, I'll do my very best okay," tulisnya.
Peminat juga sempat membuat 'Fan Chant' rasmi Ainations tanda memberi semangat dan dorongan buat pelantun lagu Terus Hidup itu berentap di pentas berprestij itu nanti.
Terdahulu, Aina melancarkan lagu terbaharunya berjudul Bluest Sky yang bakal dipersembahkan di pentas Eurovision Asia.
Lagu berkenaan bukan sahaja mendapat perhatian peminat di Malaysia, malah turut menerima reaksi positif daripada pendengar muzik antarabangsa.
Lebih menarik, terdapat peminat yang mula menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Aina untuk memberikan persembahan mantap menerusi lagu tersebut, sekali gus meletakkan harapan tinggi terhadap penampilannya di pertandingan berkenaan.
Aina dijadualkan berentap di pentas Eurovision Asia pada 14 November ini di Bangkok, Thailand, dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di persada muzik antarabangsa.
Antara negara yang bakal memberikan saingan kepada Malaysia termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Bhutan.