Sekilas
- Penyampai radio ERA, Azad Jasmin, melihat kecaman terhadap anaknya, Ammara Sofea Rose, 13, sebagai peluang apabila lagu single pertamanya, Slay, mendapat perhatian hingga ke Indonesia.
- Ammara dan Eira telah ke Indonesia untuk sesi temu bual dan dijangka membuat persembahan di Indosiar sempena Merdeka nanti.
- Pengurusan Ammara sedang berbincang kemungkinan kolaborasi dengan kumpulan wanita Indonesia, NONA, selepas perbandingan netizen terhadap lagu Ammara dan Rollerblade oleh NONA.
Penyampai radio ERA, Azad Jasmin atau Pak Azad melihat kecaman yang diterima anaknya, Ammara Sofea Rose, 13, dari sudut positif apabila penyanyi muda itu kini difahamkan mula mendapat perhatian sehingga ke Indonesia.
Menurut Azad, perbandingan yang dibuat netizen terhadap single pertama Ammara berjudul Slay secara tidak langsung membuka peluang baharu buat anaknya termasuk sesi temu bual bersama media Indonesia dan undangan persembahan di negara jiran itu.
“Dia kena kecam sampai dijemput buat persembahan di Indonesia. Lagu dia secara tak langsung dah sampai ke sana kerana netizen sendiri yang buat perbandingan.
“Dua minggu lalu Eira dan Ammara dah ke sana untuk sesi temu bual. Insya-Allah untuk Merdeka nanti dia akan buat persembahan pula di Indosiar. Bagi saya apa yang berlaku sebenarnya bagus untuk dia walaupun pahit untuk budak umur 13 tahun telan,” katanya.
Azad berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu KITA sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Astro, Bukit Jalil pada Isnin.
Mengakui Ammara pernah mempersoalkan mengapa kecaman terhadapnya tidak berhenti, Azad berkata anaknya bagaimanapun cukup matang berdepan komen negatif kerana sejak kecil sudah melihat sendiri asam garam kehidupan ibu bapanya dalam industri seni.
“Dia pernah tanya kenapa orang tak berhenti maki dia. Saya cakap jangan takut, tunggu bapa awak pula buat viral, nanti orang maki bapa awak balik.
“Dia dah tengok orang puji dan maki hamun saya, jadi dia belajar. Walaupun masih muda, dia matang untuk lalui semua itu,” ujarnya.
Menerusi perkembangan lain, Azad berkata, pihak pengurusan Ammara kini sedang berbincang dengan pengurusan kumpulan wanita Indonesia, NONA, berhubung kemungkinan kerjasama.
“Setakat ini mereka belum berjumpa. Pengurusan kami masih berhubung menerusi e-mel. Semuanya bermula daripada perbandingan netizen tetapi bila mereka tengok Ammara, mereka baru tahu dia sebenarnya dia baru berusia 13 tahun.
“Mungkin akan ada kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia, Ammara dengan NONA, kita tak tahu,” katanya.
Terdahulu, single pertama Ammara, Slay mencuri perhatian apabila segelintir netizen membandingkan lagu tersebut dengan Rollerblade nyanyian kumpulan Indonesia, NONA.