Sekilas
- Umisya Mazlan, isteri pertama Ahmad Aslam, menegaskan dia tidak mahu terlibat dalam konflik rumah tangga suaminya dengan madunya, Marissa Dania Hakim.
- Umisya tampil menjelaskan selepas menerima pelbagai fitnah dan hinaan yang turut menjejaskan keluarganya termasuk anak kecil.
- Pelbagai perbincangan dan usaha telah dilakukan oleh Umisya bersama keluarga terlibat untuk menyelesaikan isu ini, namun keadaan masih berlarutan sehingga kini.
Personaliti media sosial, Umisya Mazlan tampil bersuara menjelaskan kedudukannya susulan isu yang mengaitkan suaminya, Ahmad Aslam dengan madunya, Marissa Dania Hakim.
Menurut Umisya yang juga isteri pertama kepada Aslam, dia tidak lagi mahu terlibat dalam sebarang konflik membabitkan rumah tangga suaminya dengan pihak berkenaan.
“Assalamualaikum, pertama sekali saya Umisya, isteri pertama Aslam, yang tidak ada kena mengena sama sekali dengan isu yang digembar-gemburkan oleh orang ramai ataupun keluarga pihak sana.
“Saya sama sekali dah serik dan tak nak masuk campur dengan hal peribadi isu rumah tangga suami saya dengan pihak sana,” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Bagaimanapun, Umisya menjelaskan dia terpaksa tampil bersuara selepas berdepan pelbagai fitnah dan hinaan sehingga melibatkan keluarganya termasuk anak kecil.
“Tapi setelah terlalu banyak fitnah dan kata-kata hinaan yang saya, keluarga dan anak-anak saya terima, sehingga anak saya yang masih kecil dan tidak berdosa turut terkena tempias.
“Disebabkan oleh pihak-pihak lain masuk campur tangan.
“Sebelum ini kenapa saya viralkan di Twitter perkara tersebut kerana diminta oleh keluarga pihak sana dengan harapan untuk hentikan hubungan mereka.
“Sehingga kini isu lama terus dibangkitkan sehingga menjadi perkara yang tidak benar,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pelbagai usaha dan nasihat telah dilakukan sebelum perkahwinan berlaku termasuk mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat.
“Banyak nasihat dan usaha saya lakukan untuk mengelakkan perkara buruk berlaku. Saya berjumpa dengan pihak ketiga dan keluarga mereka, berkali-kali kami berbincang.
“Namun pada awalnya, apabila saya maklumkan kepada ibu pihak sana, tiada yang percaya sehingga saya sertakan bukti,” katanya.
Menurut Umisya, beberapa perbincangan antara keluarga juga telah dilakukan, malah dia sendiri pernah mencadangkan agar laporan polis dibuat bagi mengelakkan situasi menjadi lebih rumit.
Malah, dia turut mendedahkan pernah memaklumkan kepada keluarga pihak berkenaan mengenai keberadaan suaminya ketika berada di sempadan sewaktu dia berada di Madinah selepas menunaikan umrah.
“Sehingga kini, segala provokasi dan tindakan yang dilakukan oleh pihak sana, saya masih berdiam diri dan terus menasihati suami saya agar tidak melakukan perkara yang melanggar batas,” katanya.
Sebelum ini, pempengaruh media sosial Ahmad Aslam dilaporkan memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung kemelut rumah tangganya sebaik selesai prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tengah hari semalam.
Aslam hanya memberikan kenyataan ringkas tanpa memperincikan situasi melibatkan dia dan isterinya, Marissa Dania Hakim.
Terdahulu, pasangan tersebut mencetuskan perhatian ramai apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.
Perkahwinan itu turut didakwa berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa termasuk ibu bapanya, Norman Hakim dan Abby Abadi.
Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses berkaitan masih berlanjutan sehingga kini.
Sumber: Threads