Sekilas
- Dr Kervis Soo, usahawan dan penerbit berusia 34 tahun dari Kluang, Johor, kini aktif dalam industri perfileman, muzik, dan pembangunan bakat melalui platform hiburan digital.
- Beliau akan mengadakan majlis penghargaan pada 13 November di Kluang sempena fasa akhir penggambaran filem terbaharunya, The Day We Start Again, yang diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya.
- Soo juga melancarkan VYBE Ai SHOW Talent Competition untuk membuka peluang kepada generasi muda menyerlahkan bakat dalam enam kategori dengan hadiah menarik termasuk kenderaan elektrik dan peluang melancong.
Bermula sebagai remaja yang pernah menyertai pertandingan bakat di sekolah, siapa sangka 17 tahun kemudian Dr Kervis Soo kembali ke kampung halamannya di Kluang, Johor dengan pelbagai pencapaian dalam industri kreatif.
Usahawan dan penerbit berusia 34 tahun itu kini giat mengembangkan penglibatannya dalam dunia perfileman, muzik serta pembangunan bakat menerusi platform hiburan digital.
Lebih istimewa, Soo bakal mengadakan majlis penghargaan di Kluang De Jiao Hui Zi Luan Ge pada 13 November depan bagi meraikan individu yang banyak menyokong perjalanan hidup dan kerjayanya.
Majlis berkenaan turut diadakan bersempena fasa akhir penggambaran filem terbaharunya, The Day We Start Again, yang disasarkan untuk tayangan pada 2027.
Filem yang dipersembahkan bersama oleh Xing Yu Group dan VYBE serta diterbitkan Lomo Pictures itu menyaksikan Soo bukan sahaja terlibat dalam pembiayaan, malah turut memainkan peranan dalam perancangan projek dan pembangunan skrip.
Menariknya, kisah filem tersebut turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya berdepan cabaran perniagaan, memulakan semula kehidupan dan menghargai hubungan sesama manusia.
Antara pelakon yang terlibat ialah K Lou, Bruce Chiu, Charlene An Yu Chin, Leonard Lee, Yuan Teng dan Kyo Chen.
Penggambaran filem itu dirancang berlangsung di Kuala Lumpur dan Kluang, sekali gus memberikan peluang kepada Soo untuk mengetengahkan bandar kelahirannya kepada penonton yang lebih luas.
Untuk rekod, Soo dan syarikat berkaitan telah terlibat dalam enam projek filem sejak 2023 menerusi pelbagai peranan termasuk pelaburan, penerbitan, penyeliaan serta pembangunan cerita.
Antaranya ialah Indera, The Missing Child, Blooms of Happiness, Kungfu Juniors, Mad Mad World dan The Day We Start Again.
Filem Indera arahan Woo Ming Jin yang dibintangi Shaheizy Sam dan Azira Shafinaz turut menjadi antara karya yang menerima pelaburan Soo.
Selain perfileman, kepulangannya ke Kluang juga bakal menyaksikan pelancaran VYBE Ai SHOW Talent Competition, sebuah pertandingan yang cukup dekat dengan pengalaman zaman remajanya.
Pada 2009, Soo pernah mengetuai kumpulan muzik menyertai pertandingan bakat ‘Ai Show’ di Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang.
Kini, selepas 17 tahun, dia mahu membuka peluang serupa kepada generasi baharu untuk menyerlahkan bakat masing-masing.

Pertandingan tersebut merangkumi enam kategori iaitu nyanyian, tarian, alat muzik, rap, bakat pelbagai dan video pendek kreatif.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk sebuah kenderaan elektrik yang dinilai penganjur pada RM99,800, peluang melancong ke Maldives serta ganjaran VYBE GOLD.
Dalam masa sama, Soo turut menghasilkan dua lagu asli iaitu ‘The Day We Start Again’ dan ‘After Waking Up’, selain menerbitkan buku sulung berjudul The Day We Start Again.
Menurut bahan media, sebanyak 1,005 naskhah cetakan pertama buku tersebut telah habis dijual.
Bagi Soo, segala pencapaian itu bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya hasil sokongan keluarga, guru, sahabat dan rakan industri yang sentiasa berada di sisinya.
“Kita perlu terus mempunyai impian. Mana tahu, mungkin ia menjadi kenyataan?” katanya.

Majlis penghargaan pada 13 November itu bakal menghimpunkan ahli keluarga, guru, sahabat lama serta penggiat industri kreatif dalam sebuah acara khas atas jemputan sahaja.