Sekilas
- Datuk Seri Adnan Abu hadir ke konsert minggu kedua Talk To My Manager musim kedua untuk memberi sokongan kepada anaknya, Anggrek, yang membuat persembahan.
- Beliau juga menggunakan kesempatan itu untuk memohon maaf kepada bekas isteri, Adira Suhaimi, dan mendoakan kebahagiaan mereka berdua serta anak-anak.
- Isu lama mengenai dakwaan syarat bayaran RM100,000 oleh Datuk Red untuk menyelesaikan kes rujuk mereka masih menjadi perbualan, namun beliau menafikan sebarang tawaran tersebut.
Bekas suami kepada penyanyi, Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu menyorot perhatian ramai apabila dilihat hadir memberikan sokongan buat bekas isteri serta anak sulung mereka, Anggrek di konsert minggu kedua program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) pada malam Ahad.
Menurut Adnan yang lebih mesra disapa Datuk Red, kehadirannya pada malam tersebut adalah kerana mahu melihat Anggrek membuat persembahan di atas pentas.
"Hari ini saya datang untuk bagi sokongan kepada anak saya iaitu Anggrek. Memang impian saya nak tengok anak saya. Alhamdulillah cemerlang hari ini. Tahniah Anggerik.
"Tengok anak-anak lain juga ada atas pentas, menitik air mata. Nak peluk tak dapat kan? Sebab jauh. Tahniah juga kepada Adira kerana berjaya menggilap bakat Anggerik," katanya kepada Gempak.
Bukan itu sahaja, Datuk Red memaklumkan bahawa kehadirannya pada malam konsert minggu kedua itu adalah kerana mahu memohon maaf kepada Adira atas kekhilafan yang berlaku semasa proses mahkamah berkenaan rujuk mereka.
"Saya datang ini sebagai tanda sokongan dan permohonan maaf untuk dia (Adira). Saya nak jernihkan apa yang saya sudah buat sebelum ini. Saya doakan dia semoga bahagia.
"Siti Adira, terbanglah tinggi. Saya doakan awak dan Anggerik," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai hubungannya bersama anak-anak selepas berpisah, Datuk Red berkata dia sudah tidak bertemu dengan kesemua anaknya sejak dua minggu yang lalu namun tetap bertanya khabar mereka melalui panggilan video.
"Dua minggu (tak jumpa). Saya ada video call dengan bibik, tapi dalam keadaan sekarang, bagi saya bertenang dulu. Tapi sebak bila tengok semua tadi. Tapi tak apa, asalkan dorang bahagia. Ya, saya sebak.
"Adira mungkin tahu saya datang sebab saya minta tiket dekat pengurus dia," ujarnya.
Terdahulu, nama bekas pasangan suami isteri ini mula menjadi bualan selepas Adira meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.
Dakwa Adira, usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.
Datuk Red bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran itu.