Pemain bola sepak legenda dunia, Cristiano Ronaldo mendedahkan sudah bersedia meninggalkan lapangan sukan tersebut sebagai rancangan masa depan.
Ronaldo yang sudah berusia 40 tahun menyebut tentang rencana persaraannya sewaktu memberi komen dalam program bual bicara Piers Morgan's Uncensored yang ditayangkan di United Kingdom.
Advertisement
Sewaktu temu bual, Ronaldo mengaku tidak mempunyai perancangan menjadi pemain bola sepak dalam jangka masa yang panjang.
Bintang sukan kelahiran Portugal itu juga mengaku mahu bersara untuk menikmati sebahagian kehidupannya. Beliau juga telah memikirkan tentang persaraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya rasa saya akan bersedia. Ia akan menjadi sukar. Saya mungkin akan menangis (bersara), ya pasti,” ujar Ronaldo seperti dilaporkan The New York Times.
Ronaldo juga menyatakan keputusan untuk bersara daripada sukan yang dicintainya bukan mudah untuk dilakukan.
“Ia akan sangat, sangat sukar tapi saya telah memikirkan tentang persaraan ini sejak berusia 25, 26, 27 tahun.
“Jadi saya mungkin boleh mengatasi tekanan itu walaupun tiada apa yang boleh menyamai adrenalin menjaringkan gol,” katanya lagi.
Menurut Ronaldo meski dunia memujanya sebagai pemain bola sepak terhebat, sebagai manusia biasa beliau juga memiliki minat tersendiri.
“Apabila saya bersara, sayaakan mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga. Membesarkan anak dengan lebih baik.
“Belajar skil daripada YouTube dan melakukan hal-hal yang saya suka tetapi tidak dapat dilakukan sebelum ini kerana menghabiskan 24 jam untuk bermain bola.
“Saya mahu menonton perlawanan UFC, bermain padel dan belajar tentang perniagaan atau melakukan hal-hal lucu di YouTube,” dedah Ronaldo.
Saat ini Ronaldo masih memiliki kontrak bersama kelab Al-Nassr di Saudi Pro League sehingga akhir 2027.
Beliau juga masih memegang rekod sebagai penjaring terbanyak untuk negara dan kelab dengan 952 gol sepanjang menjadi pemain bola sepak.