Pelakon, Zarif Ghazzi akui sedikit kekok apabila perlu tampil sebagai seorang ahli ‘boy band’ dan menari dalam drama terbaharunya Satu, Dua... Dia?.
Menurut Zarif atau nama lengkapnya Zarif Farahi Effie Ghazzi,21, perkara itu sedikit mencabar buatnya kerana tidak pernah menari sepanjang hidupnya.
Advertisement
“Kalau bercakap dari segi lakonan tu saya tiada masalah sangat tapi perlu menyanyi dan menari itu sedikit kekok sebab sepanjang 21 tahun saya hidup saya tak pernah menari.
“Menyanyi dekat karaoke itu pernah tapi bukan untuk tontonan umum, jadi benda ini agak mencabar buat saya. Demi nak menjayakan watak ini saya duduk depan cermin setiap hari untuk smoothkan gerakan saya bagi nak cantikkan scene itu,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Zarif turut mendedahkan bahawa dia mula mengikuti kelas tarian sebaik sahaja menerima tawaran berkenaan bagi memastikan setiap pergerakannya tampak meyakinkan di hadapan kamera.
Pelakon yang popular menerusi drama Khun:Sa itu juga bersyukur kerana pengurusnya antara individu yang banyak membantunya bagi mencantikkan setiap karakter yang diterima.
“Sehari selepas saya dapat tawaran ini saya dan pengurus, Faiz Aizat berbincang untuk pergi ke kelas tarian. Pengurus saya banyak membantu dalam membentuk saya dalam dunia lakonan, dia akan memastikan saya dapat apa yang saya perlukan.
“Dia betul-betul jaga saya dan memastikan saya dapat memberikan komitmen ini sebaiknya,” tambah Zarif.
Selain Zarif, drama yang diarahkan oleh Datuk Yusry itu turut dibintangi oleh Erysha Emyra, Afiq Hamidon, Fimie Don dan bintang Alpha iaitu Rizal Rasid serta Ariel Fesol.
Drama Satu, Dua... Dia? bakal menemui anda pada 23 Oktober 2025 di platform penstriman VIU.
