Sekilas
- Yasmin Hani berkongsi bahawa Zarif Ghazzi sentiasa menjaga batasan dan bersikap sopan ketika siri jelajah walaupun lebih banyak masa dihabiskan bersama pelakon lelaki lain.
- Yasmin menasihatkan Zarif agar tidak membaca komen negatif demi menjaga kesihatan mentalnya sementara isu yang melibatkan Zarif diselesaikan.
- Pihak pengurusan Zarif menafikan dakwaan salah laku dan menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu serta menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa.
Bekerjasama dalam siri dan filem Kudrat 1968: High Council, pelakon Yasmin Hani berkongsi keperibadian aktor Zarif Ghazzi ketika berada di set penggambaran.
Menurut Yasmin, biarpun Zarif lebih banyak meluangkan masa bersama barisan pelakon lelaki namun dia melihat aktor berusia 22 tahun itu sentiasa menjaga batasan ketika siri jelajah.
“Masa dekat set, saya tak banyak sangat jumpa dia sebab dia memang lepak dengan the boys saja. The boys tak lepak dengan kita… veteran lepak dengan veteran macam tu.
“Tapi bila kita buat siri jelajah tu, dia ada sempadan, ada jaga halal gap. Dia pun sangat polite dan baik,” kata Yasmin kepada Gempak.
Yasmin berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri majlis Malam Nona Gala Awards yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, pelakon berusia 47 tahun ini turut menitipkan nasihat buat Zarif agar tidak membaca komen buat masa sekarang untuk menjaga kesihatan mental.
“Harapnya isu ini dapat diselesaikan. Buat masa ini, dia kena bertenang. Jangan baca komen-komen. Jika ada pengurus atau sesiapa wakil ke, biar mereka yang update keadaan sekarang.
“Otherwise, tak perlu baca untuk your own mental health. It's too much for you to know,” ujarnya.
Terdahulu, pihak pengurusan Zarif Ghazzi menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan artis mereka dan menegaskan Zarif sentiasa mengutamakan profesionalisme dan integriti.
Satu laporan polis telah dibuat dan wakil peguam dilantik untuk meneliti tindakan perundangan yang sesuai berhubung isu tersebut.
Mereka menyeru masyarakat dan media agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi individu terlibat dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa.