Penyampai radio dan pengacara, Sharifah Shahirah berkongsi sempat malawat rakan artis, Salih Yaacob di kediamannya baru-baru ini.
Menurut Sharifah atau lebih mesra disapa sebagai Shiera, Salih berada dalam keadaan baik walaupun doktor mengesahkan beliau mengalami strok ringan.
“Bacaan darah dia 200 lebih. Isteri dia maklumkan ada strok ringan. Tapi bila kita melawak, dia gelak. Dia sangat positif walaupun keadaan macam itu,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Countdown KITA 2026 di Astro Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Shiera turut memaklumkan bahawa keadaan fizikal Salih kini memerlukan lebih perhatian kerana otot kakinya semakin lemah disebabkan terlalu banyak berbaring.
“Dia baring saja sebab kaki dah tak ada otot sangat. Doktor suruh dia banyak bergerak.
“Dia terima saja kalau ada orang nak datang melawat, cuma kena telefon isteri dia dulu," ujarnya.
Shiera turut meluahkan rasa prihatin terhadap nasib artis lama yang semakin uzur dan memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan rawatan serta kehidupan harian.
“Dalam keadaan begini, kita memang perlukan duit. Dia nak bekerja tapi tak larat. Orang kata ambil dia berlakon, tapi nak bangun pun pening. Jadi saya cadangkan kalau kita buat dana… artis seorang RM10 pun cukup.
“Dapatlah RM500 atau RM600 sebulan untuk bantu mereka,” jelasnya.
Menurut Shiera, Salih tidak meminta bantuan tetapi terbuka menerima sumbangan kewangan untuk tujuan perubatan.