Sekilas
- Datuk Nora Ariffin memuji persembahan Aina Abdul di AJL40 yang bukan sahaja menonjolkan vokal hebat tetapi juga gabungan seni dan aura yang luar biasa.
- Nora menyifatkan persembahan Aina sebagai seni yang sukar digabungkan dengan vokal dan aura secara serentak.
- Walaupun mungkin tidak semua penonton faham konsep persembahan itu, Aina tetap berjaya membuktikan keupayaannya sebagai penghibur berkuasa di pentas AJL.
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin memberikan pujian terhadap persembahan penyanyi Aina Abdul di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).
Menurut Nora, persembahan yang dipersembahkan Aina bukan sekadar menonjolkan kehebatan vokal, sebaliknya berjaya menggabungkan elemen seni dan aura sehingga menghasilkan sebuah persembahan yang luar biasa.
“Pada pandangan saya sebagai seorang penyanyi terhadap persembahan Aina di AJL40, ini bukan sekadar persembahan, tetapi ini adalah seni.
“Bukan mudah untuk menggabungkan vokal yang luar biasa, seni dan aura seperti ini. Apa yang Aina lakukan memang benar-benar di luar kotak,” katanya.
Dalam pada itu, Nora mengakui mungkin tidak semua penonton dapat memahami atau menghayati konsep yang cuba disampaikan Aina menerusi persembahannya.
Bagaimanapun, bagi Nora, perkara tersebut tidak menghalang Aina daripada membuktikan keupayaannya sebagai seorang penghibur di pentas berprestij itu.
“Mungkin tidak semua orang faham, tetapi Aina memang berjaya melakukannya. Syabas, Aina!
“Aina Abdul bukan sekadar seorang penyanyi yang hebat, tetapi dia juga seorang penghibur yang sangat berkuasa di atas pentas,” ujarnya.