Skip to main content

Berita Tempatan

"Dia Bukannya 'Anak Ikan' Saya" - Azharina

azharina

Penyanyi Azharina Azhar, 40, tampil menjelaskan hubungan sebenarnya dengan penyanyi muda, Daniesh Suffian, 27, selepas timbul dakwaan tidak berasas di media sosial.

Menurut Azharina, Daniesh bukanlah ‘anak ikan’ seperti yang diperkatakan, sebaliknya mereka mempunyai pertalian darah.

Advertisement

“Allahyarham datuk saya dan Allahyarham datuk Daniesh adalah adik-beradik. Jadi, hubungan sebenar kami ialah dua pupu. Saya harap selepas ini tiada lagi orang kata dia ‘anak ikan’. Jangan kata itu ‘anak ikan’ saya sebab dia adalah saudara saya,” katanya kepada Gempak.

Kolaborasi Lagu Gunung Kinabalu

Azharina ditemui selepas majlis pelancaran lagu duetnya bersama Daniesh berjudul Gunung Kinabalu di ibu kota, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan tersebut, Azharina mengakui tidak tahu siapa yang mula mengaitkannya dengan gosip berkenaan, namun tetap memilih untuk berlapang dada.

“Saya kasihan dengan individu yang buat tuduhan itu, tapi dalam masa sama saya nak ucap terima kasih. Di media sosial memang ramai kata dia ‘anak ikan’, ‘anak ikan emas’, semua ada. Tapi tak apalah, saya maafkan mereka semua.

“Ada juga yang komen kami macam emak dan anak. Sumpah ya, ada orang tulis begitu di TikTok saya yang sudah mencecah 1.9 juta tontonan. Tapi saya reda dengan apa pun,” katanya.

Angkat Bakat Baru

Bercerita mengenai kerjasama bersama Daniesh, Azharina menjelaskan dia mahu menggunakan peluang tersebut untuk memperkenalkan bakat penyanyi muda itu kepada umum.

“Saya bawa Daniesh untuk sama-sama menyanyikan lagu ini sebagai salah satu cara saya memperkenalkan bakatnya yang mungkin ramai belum kenal.

“Bagi saya, yang penting ialah suara dia memang sedap. Kita boleh dengar banyak lagu duet di luar sana tapi vokal mereka tidak ‘kahwin’ atau tidak boleh ‘blend’. Dengan Daniesh, alhamdulillah vokal kami boleh bersatu dan ia sudah terbukti menerusi beberapa lagu ‘cover’ di TikTok sebelum ini,” ujarnya.

 

Must-Watch Video