Pelakon Sophia Albarakbah mengakui selesa berkawan rapat dengan seorang jejaka yang sudah dikenali sejak lebih sedekad.
Sophia atau nama sebenarnya, Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, berkata dia juga tidak menolak andai hubungan itu ditakdirkan berakhir ke jinjang pelamin.
Advertisement
Namun, memilih untuk tidak mendedahkan identiti rakannya itu kepada umum.
“Itu kawan lama saya, 14 tahun kenal dari zaman universiti. Memang dia rapat dengan keluarga saya.
“Dia sentiasa ada dengan saya, tak pernah tinggal. Buat masa sekarang, saya tak nak letak apa-apa status, kami memang kawan.
“Kalau ada jodoh, okay saja. Keluarga sentiasa restu dari dulu,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Tembuni Berdarahyang berlangsung di Mytown, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Sophia menegaskan fokus utamanya kini masih pada dunia lakonan.
“Saya mahu fokus pada karier lakonan dan buat apa yang orang suka tengok. Saya juga mahu orang pandang lebih lagi pada bakat lakonan,” katanya.
Difahamkan, rakan baik Sophia itu turut hadir ke acara malam gala berkenaan dan duduk sebaris dengan keluarganya.
Imbas kembali, Sophia sebelum ini pernah mendedahkan hatinya sudah dimiliki oleh rakan baik sejak 2011, sekali gus menerima restu daripada kedua-dua pihak keluarga.