Sekilas
- Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek menerima sokongan moral daripada rakan selebriti seperti Adira Suhaimi, Bella Astillah dan Diana Danielle selepas lafaz talak suaminya, Nubhan, disahkan sah oleh mahkamah.
- Dr Afifah berasa kuat menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal dengan dorongan keluarga dan rakan-rakan, serta terbuka untuk peluang dalam dunia seni jika sesuai dengan kerjayanya sebagai doktor gigi.
- Pasangan ini berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga anak iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan dan Afzan Nayille.
Selebriti Adira Suhaimi, Bella Astillah dan Diana Danielle antara rakan yang memberi semangat kepada bekas isteri kepada penyanyi Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Menurut Dr. Fie, dia mempunyai kekuatan untuk menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal disebabkan daripada sokongan keluarga dan rakan-rakan selebriti.
“Alhamdulillah, ramai selebriti yang hubungi saya, antaranya Diana Danielle, Bella Astillah dan Adira Suhaimi. Mereka banyak berkongsi pengalaman serta memberi nasihat supaya saya kekal tenang.
“Sokongan begitu membuatkan saya rasa lebih kuat,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Dr. Fie tidak menolak untuk menerima tawaran sekiranya ada peluang untuk tampil dalam dunia seni.
Bagaimanapun, hal itu harus dipertimbangkan mengikut kesesuaian kerjayanya sebagai doktor gigi.
“Saya terbuka, tetapi semuanya bergantung kepada kesesuaian imej dan profesion saya,” katanya.
Sementara itu, mahkamah semalam mengesahkan lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah oleh Nubhan pada 26 Ogos lalu sebagai sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Keputusan itu disampaikan Hakim Umamuddin Yunus selepas meneliti semua keterangan berkaitan.
Untuk rekod, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3.