Sekilas
- Live Concert: Elegant Selamanya akan berlangsung pada 30 Oktober ini di Zepp Kuala Lumpur dengan 10 artis terkenal seperti Dato Ziana Zain, Erra Fazira, dan kumpulan Elite.
- Konsert ini menggabungkan elemen kecantikan, muzik, dan hiburan dengan pengarah muzik Jay Kugat memastikan persembahan berjalan lancar selama dua setengah jam.
- Tiket dijual bermula 3 Oktober dengan pelbagai kategori harga dari RM199 hingga RM6,032 melalui platform Ilasso Tickets.
Pengarah Elegant Cosmetics, Dato Al Amin yang juga penganjur Live Concert: Elegant Selamaya yakin acara tersebut mampu menarik perhatian peminat sekaligus memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur meski baru membuat pengumuman ia bakal berlangsung pada hujung bulan ini.
Live Concert: Elegant Selamaya yang membariskan 10 artis terkenal iaitu Dato Ziana Zain, Erra Fazira, Adira Suhaimi, kumpulan Elite, Nourul, Anggrek, Umai, Odda, Zaki Yamani dan Azar Azmi dijadual berlangsung dalam masa satu 30 Oktober ini.
“Walaupun pengumuman konsert ini dibuat agak lewat iaitu sekitar 30 hari sebelum ia berlangsung, namun saya yakin dengan hebahan berita selepas sidang akhbar ini ia akan tular sekali gus menarik perhatian peminat membeli tiket yang mula dijual bermula 3 Oktober ini.
“Saya juga yakin, barisan 10 artis yang kami ketengahkan mampu menarik minat penonton sementelah mereka mewakili beberapa generasi artis yang sudah ada peminat tersendiri,” ujar Al Amin sewaktu ditemui dalam sidang akhbar yang diadakan di Ampang Coffee Club, Ampang.
Sementara itu, Abby Abadi yang mewakili kumpulan Elite memberitahu bersetuju untuk terlibat dalam konsert tersebut kerana mempunyai hubungan baik dengan penganjur. Malah dia juga tidak sabar untuk sepentas dengan rakan artis lain.
“Kumpulan Elite sudah menjalin hubungan baik dengan Al Amin jadi apabila diberi kesempatan untuk terlibat dalam konsert ini, kami tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju.
“Jika ikutkan, Elite akan mendendangkan sekitar tiga buah lagu termasuk Tamparan Wanita dan Trauma,” katanya.
Pelakon Azar Azmi pula merungkai persoalan media mengenai kehadirannya dalam konsert yang dijadual berlangsung selama dua jam setengah itu.
Menurutnya, dia tidak akan menyanyi kerana ia bukan kepakarannya tetapi hadir sebagai sokongan kerana dirinya merupakan duta kepada Elegant Cosmetics selepas dilantik beberapa bulan lalu.
“Mustahil saya menyanyi tapi sebagai duta adalah tanggungjawab saya untuk hadir pada malam konsert,” katanya.
Menggabungkan eleman dunia kecantikan, muzik dan hiburan , Live Concert: Selamanya akan menyaksikan konsert mendapat sentuhan Pengarah Muzik, Jay Kugat yang bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan muzik dan persembahan para artis yang menyampaikan dua sehingga tiga lagu bagi setiap persembahan dapat disusun dengan kemas bagi membentuk pengalaman konsert yang menarik untuk penonton.
Tiket dengan kategori Elegant Royal VIP Royal Box (RM6,032), Elegant Prestige – VIP Numbered Seating ( RM499), Elegant Premiere – Numbered Seating (RM399), Elegant Premiere Limited Seat (RM199), Elegant Deluxe* – Premium Seating (RM358) dan Elegant Classic* – Premium Seating (RM259) di platform Ilasso Tickets.