Sekilas
- Fajar Sadboy, pelakon siri web Yang Penting Ada Cinta, terkejut dengan dakwaan meminta banyak perkara mewah daripada rider penganjur sehingga tular di media sosial.
- Dakwaan termasuk permintaan kenderaan Alphard, bedak Christian Dior, anggur Muscat, air jenama Evian atau Fiji, serta nasi Padang dari tiga restoran terkenal.
- Fajar yang baru berusia 18 tahun mengaku tidak tahu tentang dakwaan tersebut dan keliru dengan maksud 'rider' dalam konteks itu.
Pempengaruh yang kini menjadi artis, Fajar Sadboy terkejut dan bingung saat ditanya mengenai dakwaan mengenai dirinya yang meminta banyak perkara mewah disediakan oleh rider daripada pihak penganjur jika terlibat dalam sesebuah projek sehingga menjadi tular baru-baru ini.
Rider dalam industri hiburan bermaksud pihak yang menyediakan permintaan oleh pelaku seni sepanjang terlibat dengan acara yang dipersetujui termasuk tentang makanan.
Justeru, untuk kes Fajar yang merupakan pelakon siri web Yang Penting Ada Cinta menjadi tular di media sosial, pemuda itu didakwa telah meminta banyak persediaan yang dilihat sangat melampau.
Fajar yang terkenal dengan ‘pick up line’nya didakwa meminta disediakan kenderaan mewah jenis Alphard sebagai pengangkutan. Dia juga mahu disolek dengan bedak dari jenama kosmetik mewah, Christian Dior. Untuk makanan pula, Fajar dikatakan mahu disediakan anggur jenis Muscat bersama air jenama Evian atau Fiji daripada rider.
Dia yang mencuba nasib sebagai salah seorang peserta Indonesia Idol musim terkini juga mahu makan nasi Padang hanya daripada tiga restoran ternama iaitu Sederhana, Sari Ratu dan Pagi Sore.
Saat wartawan bertanya tentang kebenaran dakwaan tersebut, Fajar mengaku tidak tahu mengenai hal yang tular.
“Saya tidak tahu,” katanya bingung saat ditemui Kompas di Jakarta Pusat.
Dia yang baru berusia 18 tahun kemudian menjawab: “Saya memang tidak tahu. Saya fikir rider itu pelumba motor. Bukan ya?”