Sekilas
- Syed Saddiq menegaskan dia masih komited sebagai Ahli Parlimen Muar dengan menyalurkan bantuan bernilai lebih RM6.2 juta kepada penduduk setempat dalam dua tahun terakhir.
- Beliau menepis dakwaan hilang aura politik walaupun aktif dalam dunia seni dan media sosial, sambil mengekalkan rekod kehadiran 100% di Parlimen dan jawatankuasa.
- Syed Saddiq juga berkongsi pengalaman cabaran politik enam tahun lalu termasuk berundur dari jawatan Presiden MUDA demi menjaga integriti dan memberi ruang proses undang-undang berjalan lancar.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq tampil menjawab dakwaan kononnya dia sudah hilang aura sebagai ahli politik susulan penglibatannya dalam dunia seni dan media sosial.
Syed Saddiq bagaimanapun berkata dia tidak pernah mengabaikan amanah sebagai wakil rakyat, malah terus komited melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat di kawasan Muar.
Katanya, sepanjang tempoh kira-kira dua tahun lalu, pelbagai bentuk bantuan bernilai lebih RM6.2 juta telah berjaya disalurkan kepada penduduk kawasan tersebut.
“Alhamdulillah dalam tempoh masa setahun ke setahun setengah, pelbagai jenis bantuan yang melebihi RM6.2 juta sudah disalurkan kepada masyarakat Muar.
“Pada masa yang sama, saya tidak pernah culas bab tanggungjawab. Rekod saya di Parlimen bukan setakat kehadiran 100 peratus di Parlimen, tetapi juga 100 peratus di peringkat jawatankuasa dan pindaan Perlembagaan.
“Saya tak nak culas, cuma dalam saya melaksanakan tanggungjawab, saya perlu berfikiran di luar kotak dan saya akan terus menggunakan taktik luar kotak untuk membela rakyat saya,” katanya.
Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya sudah hilang aura sebagai ahli politik susulan pembabitan dalam industri hiburan.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, enam tahun kebelakangan ini juga menjadi tempoh yang mencabar dalam perjalanan politiknya.
Ia termasuk memaksanya membuat beberapa keputusan besar seperti berundur daripada jawatan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan dalam kes yang dihadapinya.
Jelas Syed Saddiq, tindakan itu diambil demi menjaga integriti serta memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan telus tanpa menjejaskan parti yang dipimpinnya ketika itu.
“Saya percaya kalau kita ingin membangunkan negara, kita perlu menjadi lebih putih daripada putih (whiter than white).
“Sebab itu saya mengambil sedikit langkah ke belakang untuk membuktikan kebenaran di mahkamah, membersihkan nama saya dan kini alhamdulillah saya sudah pun membuktikanny” katanya.
Terdahulu, tular satu ciapan di media sosial yang mendakwa Syed Saddiq kini lebih dikenali sebagai selebriti media sosial berbanding seorang ahli politik, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.