Sekilas
- Sharifah Shahirah berkongsi momen mengajar anaknya, Oddah, menunaikan zakat selepas anaknya mula mempunyai pendapatan sendiri.
- Sharifah membawa Oddah ke pusat zakat dan menekankan pentingnya kesedaran membayar zakat walaupun jumlahnya kecil.
- Netizen memuji usaha Sharifah mendidik anak-anak tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim sejak usia muda.
Pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah menyorot perhatian apabila berkongsi momen dirinya mengajar anaknya, Auddra Zulkifli yang lebih mesra disapa Oddah untuk menunaikan zakat.
Menerusi perkongsian di Threads, Sharifah atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar memuat nakk video dirinya yang membawa Oddah ke sebuah pusat zakat bagi membuat pembayaran selepas anaknya itu sudah mempunyai pendapatan sendiri.
“Hari terakhir, mana sempat je lah Oddah. Mama daftarkan pusat zakat ni.
“Lepas ini bayar sendiri tau. Kalau pendapatan RM10,000 hanya bayar RM250.
“Pergi jelah atau bayar online. Sekejap saja,” katanya.
Menerusi perkongsian yang sama, penyampai radio Sinar FM itu memaklumkan bahawa meskipun jumlah zakat yang dibayar itu tidak banyak namun dia berharap agar anak-anak cakna untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
“Walaupun sikit awak bayar tapi cakna tentang zakat.
“Terima kasih 2025, terima kasih semua,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji usaha Shiera dalam mendidik anak-anak tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim di kala usia mereka yang masih muda.
Sumber: Threads