Sekilas
- Pelakon Datin Intan Najuwa mendedahkan dirinya menerima gangguan berulang dan ancaman bunuh daripada individu menggunakan akaun palsu.
- Individu tersebut juga menghubungi rakan-rakan Intan dan pejabat Kuala Lumpur Polo Club untuk mencari dan mengugutnya.
- Intan memberi amaran akan membuat laporan polis dan tindakan undang-undang jika gangguan berterusan.
Pelakon Datin Intan Najuwa mendedahkan dirinya berdepan gangguan berulang sehingga menerima ancaman bunuh daripada individu yang didakwa menggunakan akaun palsu.
Menurut Intan, individu terbabit kembali mengganggunya selepas beberapa bulan mendiamkan diri, malah sebelum ini didakwa menghantar mesej peribadi (DM) hampir setiap hari.
Lebih membimbangkan, Intan mendakwa individu berkenaan turut menghubungi rakan-rakannya menerusi mesej peribadi dan e-mel, selain menghubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club untuk mencari dirinya.
“Dia muncul balik selepas berbulan-bulan mendiamkan diri. Sebelum ini, individu ini mengganggu saya hampir setiap hari melalui mesej peribadi (DM).
“Bukan saya sahaja, malah dia turut menghantar mesej peribadi dan e-mel kepada semua rakan saya. Sampai tahap dia hubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club hampir setiap hari untuk mencari saya, menuntut untuk bercakap dengan saya dan mengugut saya dengan pelbagai perkara.
“Dan ya, individu di sebalik akaun palsu ini ialah seorang lelaki. Hari ini (Khamis) dia muncul semula, tetapi kali ini dengan komen yang mengancam untuk membunuh saya,” dedahnya.
Dalam pada itu, Intan meminta agar individu terbabit menghentikan segala bentuk gangguan dan ancaman yang didakwa telah menjejaskan privasi serta keselamatannya.
Intan turut memberi amaran dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya gangguan tersebut berterusan.
“Kepada sesiapa sahaja di sebalik akaun palsu ini, tolong hentikan perbuatan ini dengan segera. Saya sudah tidak tahan lagi dengan gangguan, ancaman, serta pencerobohan terhadap privasi saya.
“Harap maklum bahawa ancaman bunuh dan gangguan berterusan adalah perkara yang serius. Jika saya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang, anda mungkin berdepan dengan akibat undang-undang yang berat.
“Saya mempunyai hak sepenuhnya untuk melindungi keselamatan diri, privasi, dan keluarga saya. Perkara ini mesti dihentikan,” katanya lagi.