Sekilas
- Penyanyi Indonesia, Naykilla, mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital sebelum membuat persembahan di Ultrakalcer 2026.
- Walaupun kurang sihat, Naykilla kini semakin pulih dan tetap bersemangat meneruskan persembahan di Kuala Lumpur.
- Dia berterima kasih kepada peminat atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan seni dan kejayaannya di pentas besar.
Penyanyi Indonesia, Naykilla mengakui mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital beberapa jam sebelum membuat persembahan di pentas Ultrakalcer 2026.
Bagaimanapun, Naykilla bersyukur kerana keadaannya semakin pulih dan dia tetap bersemangat untuk meneruskan persembahan di Kuala Lumpur.
"Ya, saya kurang sihat sedikit sebelum ini. Tetapi sekarang saya sudah berasa jauh lebih baik. Kuala Lumpur memang sangat hebat," katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut mengenai keadaan kesihatannya, pelantun lagu So Asu itu mengakui jadual kerja yang terlalu padat berkemungkinan menjadi antara faktor dirinya jatuh sakit.
"Jadual saya terlalu padat, jadi mungkin itu antara sebab saya jatuh sakit.
"Sekarang saya sudah okey. Saya berasa sangat baik. Terima kasih banyak-banyak," ujarnya.
Dalam pada itu, Naykilla turut meluahkan rasa terharu dan bersyukur apabila menerima sokongan daripada peminat yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan seni.
Jelasnya, kejayaan dan peluang untuk berada di pentas besar seperti Ultrakalcer 2026 tidak mungkin dapat dikecapi tanpa sokongan serta kasih sayang yang diberikan oleh orang ramai.
"Sudah tentu saya berasa sangat terhormat dan gembira. Saya juga berasa luar biasa.
"Saya tidak mungkin berada di sini tanpa anda semua dan mereka yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya.
"Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan menerima saya seadanya," katanya.