Sekilas
- Dilraba Dilmurat menafikan dakwaan dia menaikkan berat badan tujuh kilogram untuk filem Kung Fu Soccer dan menjelaskan dia hanya menjalani latihan pembentukan otot.
- Pelakon itu juga menepis khabar angin mengenai pembengkakan buku lali yang didakwa mengganggu penggambaran, sambil memuji profesionalisme dan keselamatan yang dijaga oleh pasukan produksi.
- Filem Kung Fu Soccer arahan Stephen Chow mencatat kutipan RM269 juta dalam dua hari tayangan di China dan menampilkan barisan pelakon terkenal termasuk Dilraba, Zhang Xiaofei, dan Jimmy O. Yang.
Pelakon popular China, Dilraba Dilmurat, akhirnya tampil menjawab pelbagai spekulasi yang hangat diperkatakan sepanjang penggambaran filem terbaharu arahan Stephen Chow, Kung Fu Soccer.
Ketika menghadiri acara promosi filem itu di Tianjin bersama barisan pelakon lain, Dilmurat mengambil kesempatan meluruskan beberapa khabar angin yang tular di media sosial, termasuk dakwaan kononnya dia sanggup menaikkan berat badan sehingga tujuh kilogram demi menjayakan wataknya.
Menurut aktres berusia 34 tahun itu, dakwaan tersebut langsung tidak berasas.
"Baru-baru ini saya terbaca satu temu bual yang mengatakan berat badan saya naik tujuh kilogram. Saya takut beberapa hari lagi orang akan kata saya naik 14 kilogram pula," katanya berseloroh seperti dilaporkan Yahoo!.
Aktres cantik itu menjelaskan, dia sebenarnya tidak menambah berat badan, sebaliknya hanya menjalani latihan intensif bagi membina otot dan meningkatkan kecergasan fizikal.
"Saya tidak mengalami kenaikan berat badan. Saya hanya melakukan latihan pembentukan otot untuk meningkatkan koordinasi tubuh," jelasnya.
Selain isu berat badan, dia turut menepis khabar angin yang mendakwa buku lalinya mengalami pembengkakan sepanjang menjalani penggambaran.
Menurutnya, jika perkara itu benar-benar berlaku, sudah tentu proses penggambaran akan menjadi sukar dan terganggu.
Pada masa sama, bintang itu tidak lokek memuji profesionalisme Stephen Chow dan seluruh pasukan produksi yang sentiasa mengutamakan aspek keselamatan para pelakon.
Katanya, setiap babak aksi dirancang dengan teliti dan sistem perlindungan yang disediakan sepanjang penggambaran sangat menyeluruh.
"Semua kru bekerja dengan sangat profesional dan keselamatan pelakon sentiasa menjadi keutamaan," katanya.
Dilmurat memegang watak Yu Long, enyerang bernombor lapan bagi pasukan bola sepak wanita Emei.
Dia bergandingan dengan Zhang Xiaofei, yang membawa watak Shuangshuang, tonggak utama pasukan Emei yang berusaha mengubah mentaliti pasukan untuk memburu kejuaraan.
Filem spin off itu turut dibarisi nama besar seperti Lay Zhang, Carina Lau, Takeru Satoh, Sisley Choi, Louis Cheung, MC Jin, selain penampilan istimewa pelakon Hollywood, Jimmy O. Yang.
Kung Fu Soccer turut mencuri perhatian kerana menandakan kemunculan semula Stephen Chow di kerusi pengarah selepas tujuh tahun, sejak filem terakhir arahannya, The New King of Comedy.
Filem berkenaan mula ditayangkan di China pada 11 Julai dan terus mencipta fenomena apabila berjaya mengutip 455 juta yuan (kira-kira RM269 juta) hanya dalam tempoh dua hari pertama tayangan.