Sekilas
- Dinda Anwar dari Indonesia dinobatkan sebagai pemenang utama Best Influencer Award pada All Star Influencers Award (ASIA) 2026, membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai AS$10,000.
- ASIA 2026 menghimpunkan 110 pempengaruh dari 20 negara yang menjelajah pelbagai destinasi menarik di Malaysia sambil berkongsi pengalaman budaya dan pelancongan melalui media sosial.
- Program ini mencatatkan 3.8 bilion tontonan digital sejak 2023 dan bertujuan mempromosikan Malaysia secara kreatif dan berkesan melalui kandungan berkualiti pempengaruh antarabangsa.
Pempengaruh dari Indonesia, Dinda Anwar mencipta kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Best Influencer Award pada malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2026.
Kemenangan tersebut membolehkan Dinda membawa pulang trofi dan wang tunai AS$10,000, bersamaan lebih RM40,000 mengikut anggaran kadar pertukaran mata wang.
Bukan itu sahaja, Dinda turut menggondol anugerah Best Culture Curator yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1,000.
Tempat kedua pula menjadi milik pempengaruh dari Pakistan, Zulqarnain yang menerima AS$5,000, manakala Duc Koi dari Vietnam menduduki tempat ketiga dengan hadiah AS$3,000.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengasas ASIA, Dato’ Abd Rahman Soltan bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Menariknya, penganjuran ASIA 2026 kali ini menghimpunkan seramai 110 pempengaruh dari 20 negara yang dibawa menjelajah pelbagai destinasi menarik di Malaysia.
Antara lokasi yang diterokai termasuk Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Langkawi, Pulau Pinang dan Sabah.
Sepanjang program tersebut, peserta berpeluang mengenali keunikan budaya, makanan tempatan dan destinasi pelancongan sebelum berkongsi pengalaman masing-masing menerusi platform media sosial.
Menurut Abd Rahman, ASIA yang diperkenalkan sejak 2023 telah mencatatkan jumlah kumulatif 3.8 bilion tontonan digital, sekali gus memperlihatkan potensi kandungan media sosial dalam memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
“Pencapaian 3.8 bilion tontonan ini membuktikan bahawa kandungan digital mempunyai pengaruh besar dalam memperkenalkan Malaysia kepada dunia, khususnya menerusi keunikan budaya, makanan dan destinasi pelancongan kita.
“Melalui ASIA, kita mahu memanfaatkan kekuatan pempengaruh antarabangsa untuk membawa cerita tentang Malaysia kepada khalayak global dengan cara yang lebih kreatif, autentik dan berkesan,” katanya.

Tambahnya, ASIA bukan sekadar platform meraikan populariti pempengaruh, sebaliknya turut memberi pengiktirafan kepada kreativiti dan kualiti penceritaan yang dihasilkan.
“Kami mahu ASIA menjadi platform yang mengiktiraf pempengaruh bukan sekadar berdasarkan populariti, tetapi juga kreativiti, kualiti penceritaan dan keupayaan menghasilkan kandungan yang memberi impak kepada audiens.
“Tahniah kepada semua pemenang. Kami berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk mereka terus berkembang, menghasilkan kandungan berkualiti dan membina lebih banyak kerjasama merentasi negara,” ujarnya.
ASIA 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia itu turut menyokong usaha promosi pelancongan negara menerusi kempen Visit Malaysia 2026-2027.
Sebanyak 13 kategori anugerah diketengahkan pada edisi kali ini, termasuk Best Gourmet Story yang dimenangi Zulqarnain, Best Story Teller (Duc Koi), Best Transition (Herony dari Filipina) dan Best Dedication Award (Haikal Irfan dari Malaysia).
