Sekilas
- Pengacara dan pelakon Sherry Al Hadad menjadi mangsa serangan fizikal netizen akibat salah faham berkaitan isu kematian anjing Rocky.
- Sherry menjelaskan dia bukan individu yang bersuara mengenai isu tersebut dan memuat naik penjelasan di Threads untuk membetulkan kekeliruan.
- Serangan netizen mula menyentuh aspek peribadi dan fizikal, menyebabkan Sherry berasa kecewa dan terpaksa mengambil pendekatan berseloroh untuk meredakan keadaan.
Pengacara dan pelakon Sherry Al Hadad terkilan apabila menjadi mangsa serangan fizikal netizen gara-gara salah faham membabitkan isu kematian anjing bernama Rocky, baru-baru ini.
Menurut Sherry, dia pada mulanya memilih untuk tidak mengendahkan kecaman diterima selepas netizen tersalah anggap dirinya sebagai pelakon Sherry Ibrahim yang sebelum ini bersuara mengenai isu berkenaan.
Namun, keadaan mula mengganggu emosinya apabila segelintir individu bertindak keterlaluan dengan menghina bentuk fizikalnya.
“Kecewalah saya bila orang serang pasal fizikal sebab saya macam, ‘Eh, kau ini tiba-tiba pula’.
“Benda yang saya fikir ialah saya nak membina nama dalam industri untuk orang menerima saya ini ambil masa yang lama.
“Saya tak mahu dalam satu malam tiba-tiba orang tak suka kita sebab kita bukan jenis yang konvensional.
“Kita masuk dalam industri ini bukan dengan ‘total package’. Jadi untuk saya buat orang percaya dengan bakat saya, ambil masa yang lama. Tak naklah tiba-tiba satu malam berubah segalanya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Hikayat Mansur & Liu di Istana Budaya pada Jumaat.
Mengimbas kejadian tersebut, Sherry berkata, dia terkejut apabila bangun daripada tidur dan mendapati akaun Threads miliknya dibanjiri pelbagai kecaman.
“Bangun tidur malam itu, tiba-tiba tengok Threads, banyaknya! Saya fikir, ‘Apa isu dia?’
“Saya buka, ada yang tulis ‘shame on you’, ‘tak sedar diri’ dan ‘aku memang tak suka si montel ini’.
“Saya macam, ‘Eh, apa saya buat?’ Lepas itu saya tengok dan barulah faham kronologi cerita. Mula-mula saya buat tak tahu sajalah,” ujarnya.
Bagaimanapun, Sherry berkata, kecaman tersebut semakin keterlaluan apabila mula menyentuh soal peribadi dan fizikal.
“Makin ke petang dan malam, dia dah jadi serangan fizikal. Saya pun emosilah.
“Kalau nak cakap ‘shame on you, shame on me’, okey. Tapi apabila serang saya secara peribadi, saya macam, ‘No!’” katanya.
Susulan itu, Sherry mengambil keputusan memuat naik hantaran dalam Threads bagi memperjelaskan bahawa dirinya bukan individu yang bersuara mengenai isu Rocky.
Katanya, hantaran tersebut bukan bertujuan mempertahankan diri atau menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya sekadar mahu membetulkan kekeliruan.
“Dia lebih kepada membetulkan keadaan, bukan mempertahankan diri sebab kita macam diserang hendap. Lainlah kalau kita yang buat.
“Saya bukan jenis orang yang sangat memberi pendapat di media sosial. Kalau nak buat apa pun, saya akan fikir ‘malaslah aku’.
“Selagi tidak mengganggu pekerjaan dan keluarga, saya tak mahu fikir sangat,” jelasnya.
Sherry kemudian memilih pendekatan berseloroh dengan memberitahu netizen bahawa dia sebenarnya hanya berada di rumah bermain ‘squishy’.
“Itulah saya tulis, ‘Eh korang, bukan saya, saya dekat rumah diam-diam main squishy’.
“Memang betul pun sebab sekarang saya tengah mengumpul ‘squishy’. Tapi benda itu akhirnya jadi komedi dan lawak.
“Bukan saya tulis begitu untuk mengeruhkan keadaan atau nak tunjuk jari siapa salah. Pada saya pendapat orang berbeza-beza. Cuma terkejutlah apabila diserang macam itu,” katanya.
Terdahulu, pelakon Sherry Ibrahim menerima kecaman selepas bersuara mengenai kes kematian anjing bernama Rocky di Pelabuhan Klang, Selangor.
Sherry Ibrahim bagaimanapun kemudian menurunkan hantaran berkaitan insiden tersebut selepas menerima penjelasan daripada beberapa pihak mengenai kejadian berkenaan.
Sebelum ini, kematian Rocky di Taman Teluk Gedung Indah mencetuskan perhatian ramai selepas tular dakwaan haiwan tersebut diperlakukan secara kasar ketika operasi penguatkuasaan.
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam kenyataan kemudian memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut termasuk situasi yang berlaku ketika operasi berkenaan.