Sekilas
- Datin Intan Najuwa berkongsi tentang suaminya yang membeli mesin oxygen concentrator atas nasihat doktor kerana suaminya menghidap asma dan anak-anak ada masalah pernafasan.
- Intan menepis sindiran wargamaya yang mengatakan rumah mereka kekurangan oksigen dan menjelaskan ia langkah berjaga-jaga untuk kesihatan keluarga.
- Beliau juga menegur netizen yang suka beri komen negatif dan mengajak orang ramai untuk lebih positif dan berbaik hati dalam berkomunikasi.
Perkongsian pelakon Datin Intan Najuwa di laman sosial mengenai suaminya ingin membeli mesin ‘oxygen concentrator’ untuk kegunaan di rumah mengundang pelbagai reaksi wargamaya.
Ada diantara wargamaya yang diddakwa menyindir Intan dengan mengatakan kediamannya kekurangan oksigen.
Tampil menjelaskan perkara itu, Intan menegaskan doktor menyarankan untuk membeli mesin tersebut disebabkan suaminya mempunyai sakit asma dan anak-anak kadang kala mengalami masalah kahak yang melibatkan pernafasan.
“Saya ada berkongsi cerita tentang suami membeli mesin oxygen concentrator untuk kegunaan di rumah. Tetapi ada pula yang menyindir dengan kasar dan berkata, ‘rumah kurang oksigen agaknya’.
“Doktor kami menyarankan agar kami menyediakannya di rumah kerana suami menghidap asma, manakala anak-anak pula kadangkala mengalami masalah kahak dan simptom pernafasan.
“Ia merupakan langkah berjaga-jaga yang disarankan, terutamanya jika berlaku situasi di mana tahap oksigen mereka menurun dan bekalan oksigen tambahan diperlukan,” jelasnya.
Pada perkongsian yang lain, Intan juga mempersoalkan tindakan netizen yang gemar meninggalkan komen negatif berbanding positif.

“Mengapa orang ramai tidak boleh bersikap baik dan meninggalkan komen yang positif sahaja? Kita tidak pernah benar-benar tahu apa yang sedang dilalui oleh seseorang atau sebab di sebalik tindakan mereka.
“Jika tiada kata-kata yang baik untuk diucapkan, kadangkala lebih baik untuk berdiam diri sahaja. Sedikit kebaikan sebenarnya membawa makna yang besar,” katanya lagi.
Sumber - Threads