Skip to main content

Hiburan

Disyaki Perisik Malaysia, Isa Isarb Dakwa Ditahan Enam Hari Di Indonesia, “Kami Sangat Takut Membayangkan…”

Disyaki Perisik Malaysia, Isa Isarb Dakwa Ditahan Enam Hari Di Indonesia, “Kami Sangat Takut Membayangkan…”

Sekilas

  • Isa Isarb, pempengaruh media sosial, mendakwa pernah ditahan selama enam hari oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki melakukan pengintipan ketika menghadiri demonstrasi mahasiswa di sana.
  • Isa menjelaskan tujuan sebenar ke Indonesia adalah untuk membuat dokumentari mengenai isu jerebu dan menafikan dakwaan pengintipan, walaupun pihak berkuasa menemui bukti perbualan dengan beberapa ahli politik Malaysia.
  • Isa dan rakan akhirnya dibebaskan hasil hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Indonesia, dan dokumentari jerebu dijadualkan ditayangkan di YouTube pada 16 November ini.
Advertisement

Pempengaruh media sosial dan YouTuber, Isa Isarb menyorot perhatian apabila mendakwa pernah ditahan pihak berkuasa Indonesia selama enam hari ketika berada di lokasi demonstrasi mahasiswa di negara itu, baru-baru ini.

Malah, Isa mendakwa dia bersama beberapa individu lain turut disyaki telah bertindak sebagai perisik dari Malaysia atau menerima bayaran daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan.

Advertisement

Mengulas lanjut, Isa memaklumkan bahawa tujuan sebenar mereka ke Indonesia adalah untuk menjalankan penggambaran dokumentari berkaitan isu jerebu.

“Tujuan sebenar kedatangan kami adalah untuk membuat penggambaran dokumentari jerebu. Pada hari kejadian, kami sedang dalam perjalanan ke kawasan hutan terbakar apabila terlihat orang ramai berkumpul di lokasi demonstrasi mahasiswa. Kami pun singgah untuk menemu bual beberapa orang di situ.

“Tidak lama kemudian, kami didatangi 10 hingga 15 pegawai. Salah seorang daripada mereka terus bertanya kepada saya, ‘Adakah kamu Isa Batharul?’, sedangkan saya lebih dikenali dengan nama ‘Isa Isarb’. Mendengar mereka menyebut nama itu, saya mula merasakan ada sesuatu pelik sedang berlaku.

Advertisement

“Kami kemudian ditahan atas kesalahan menyalahgunakan visa pelancong. Menurut penjelasan yang diberikan, visa tersebut tidak membenarkan kami membuat penggambaran atau berada di lokasi demonstrasi,” kongsinya dalam satu hantaran di Threads pada Ahad.

Bercerita lanjut, Isa berkata bahawa mereka kemudiannya dibawa ke balai polis untuk disoal siasat, selain diminta menyerahkan telefon bimbit dan menjelaskan tujuan kehadiran mereka di negara berkenaan.

“Saya memberikan kerjasama penuh sepanjang soal siasat, sebelum kami bermalam di dalam lokap.

“Keesokan harinya, saya mula berasa cemas apabila balai yang pada mulanya sunyi tiba-tiba didatangi 40 lagi anggota, termasuk pasukan keselamatan siber dengan teknologi canggih serta pegawai-pegawai atasan yang saya sendiri kurang pasti identitinya.

“Saya mula berasa tidak sedap hati. Melihat demonstrasi berlaku di seluruh Indonesia ketika itu, saya merasakan keadaan tidak menentu. Timbul kebimbangan bahawa kami mungkin menjadi mangsa keadaan atau dijadikan kambing hitam untuk kepentingan pihak tertentu,” tambahnya.

Tambah Isa, pihak berkuasa turut mengesyaki mereka mempunyai kaitan dengan aktiviti pengintipan selepas menemui bukti perbualan dengan beberapa ahli politik Malaysia.

“Perbualan dimaksudkan adalah antara saya dengan pasukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

“Sedangkan semua itu hanyalah urusan menjemput mereka untuk ditemu bual bagi dokumentari jerebu yang sedang kami rakam,” katanya.

Keadaan juga dikatakan semakin rumit apabila pihak berkuasa mengetahui mengenai jemputannya ke Parlimen pada minggu sama untuk menjalankan sesi temu bual.

“Hakikatnya, saya dijemput ke sana hanya untuk menemui bual ahli Parlimen berkenaan. Lokasi itu dipilih bagi menyesuaikan sesi temu bual dengan jadualnya yang padat, tambahan pula beliau baru sahaja berkahwin.

“Ya Allah, kami sangat takut membayangkan hukuman penjara 20 tahun atau hukuman mati melalui tembakan sekiranya disabitkan dengan kesalahan pengintipan.

“Sepanjang enam hari berikutnya, kami berada dalam ketakutan dan terus disoal siasat setiap hari. Ada ketika saya merasakan seolah-olah sudah tiada harapan. Akhirnya, kami hanya mampu menerima takdir sambil terus memberikan kerjasama penuh,” katanya.

Dalam tempoh tahanan tersebut, Isa mengakui turut berdepan tekanan emosi apabila memikirkan isteri dan anaknya yang ditinggalkan di Malaysia.

“Saya cuba meredakan debaran dengan melukis wajah mereka pada dinding lokap menggunakan pin besi daripada surat tahanan lokap yang diberikan kepada saya.

“Pada beberapa malam, saya mengalami serangan panik kerana berasa ‘terkapai-kapai’ dalam kurungan empat dinding, tanpa tahu apa yang menanti pada keesokan hari,” katanya.

Bagaimanapun, Isa meluahkan rasa syukur apabila dia bersama individu lain akhirnya dibenarkan pulang ke Malaysia hasil hubungan baik antara kedua-dua kerajaan.

“Jutaan terima kasih kepada kerajaan Indonesia atas layanan adil sepanjang siasatan, serta kerajaan Malaysia yang tidak melepaskan tangan kami ketika kami amat memerlukan bantuan.

“Saya akan cuba berkongsi pengalaman ini dengan lebih terperinci agar dapat dijadikan iktibar buat semua. Namun, kami tidak mahu kisah ini dijadikan bahan kempen atau digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak.

“Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya negeri Melaka pada 14 November serta ketika isu jerebu semakin hangat di Indonesia,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan dokumentari berkenaan, Isa berkata pihaknya merancang untuk menayangkan video tersebut menerusi saluran YouTube miliknya pada 16 November ini.

Menurutnya, tarikh itu dipilih bagi mengelakkan video berkenaan dikaitkan dengan kempen pilihan raya selain mengambil kira keadaan jerebu yang dijangka semakin reda berikutan hujan.

“Kami memohon maaf kerana tidak dapat memuat naik video setiap tiga hari di YouTube seperti biasa. Kami akan kembali aktif semula mulai 16 November,” katanya.

Sumber: Threads

Anda mungkin berminat dengan

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

GJ Jewellery Emas Korea Emas Bangkok 24K Woman Anklet Daun/Jubin Sliver Gold/Gila-gila Love (26cm-27cm) GA-8

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

[NEW] Tracey Easy Off-Trail Card Holder With Lanyard Dompet Kad Wanita

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

Popia Udang Gulung Dapur Ummi

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

1pcs random Sonny Angel HIPPERS - Harvest Series Mini Figure Blind box Cute Hippers decoration Line up?12 types

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

[REJURAN] Turnover Mask 5 Sheets | Hydration, Skin Renewal, Soothing, Glow

Must Watch Video

Advertisement