Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan Mohd Fadzil bukan sekadar peminat biasa sebaliknya sebagai seorang individu yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadapnya sejak dulu.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin,46, akui terkejut selepas mengetahui peminat berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami komplikasi kesihatan serius akibat tekanan darah tinggi.
“Peminat saya, Mohd Fadzil, merupakan antara peminat yang sangat setia dengan saya. Ke mana sahaja saya pergi, wajah dia sentiasa ada.
“Dia mengalami masalah kesihatan serius dan kini ditempatkan di ICU. Saya dimaklumkan pembuluh darahnya pecah akibat tekanan darah tinggi,” katanya kepada Gempak.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur, pada petang Rabu.
Dalam pada itu, pelantun lagu Bidadari Syurgaku itu juga mengambil kesempatan untuk melawat Mohd Fadzil di wad kecemasan sebelum peminatnya itu dipindahkan ke ICU meskipun mempunyai komitmen kerja pada hari kejadian.
Siti mengakui sokongan peminat merupakan antara faktor utama yang membolehkan dia terus bertahan dan kekal relevan dalam industri hiburan sehingga hari ini.
Tambahnya, kehadirannya ke hospital itu bukanlah untuk apa-apa selain memberikan sedikit semangat kepada Mohd Fadzil, walaupun ketika itu peminatnya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hakikatnya, peminat adalah kekuatan bagi seorang artis. Tanpa sokongan mereka, mungkin saya tidak akan berada di tahap sekarang atau mampu kekal sampai hari ini.
“Saya harap kehadiran saya dapat memberi sedikit semangat kepadanya. Walaupun dia tidak sedar, mungkin dia masih boleh mendengar,” ujarnya.
Lawatan tersebut turut disertai ahli keluarga Mohd Fadzil serta beberapa peminat lain yang hadir memberikan sokongan moral.
Sebelum ini, perkongsian video lawatan berkenaan yang dimuat naik oleh kelab peminat Sitizoners di TikTok tular dan menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, yang rata-rata memuji keprihatinan serta keperibadian Siti sebagai seorang artis berjiwa besar dan tidak pernah melupakan jasa peminat.