Juara Kilauan Emas 2025, Mazleen tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan mengatakan dirinya seorang ‘scammer’ selain gagal melunaskan bayaran kepada pembekal vendor kios makanannyaZ
Menurut Mazleen atau nama sebenarnya Maslin Abu Bakar, 45, dia tidak menafikan perkara itu namun menjelaskan bahawa dia terpaksa berehat seketika daripada urusan perniagaan bagi memberi fokus kepada pertandingan.
Advertisement
“Saya rasa mungkin berkaitan dengan kerja lain iaitu perniagaan yang saya dah cutikan selama enam bulan sebab saya nak fokus pada Kilauan Emas 2025.
“Nak masuk ke program ini untuk sesi ujibakat bukan kosong-kosong, kena ada tempohnya. Jadi apa sahaja kerja yang berkaitan, saya memang cutikan terlebih dahulu,” jelasnya.
Mazleen berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Kilauan Emas 2025 pada Sabtu.

Tidak cepat melatah, Mazleen berkata isu berkenaan telah dimaklumkan lebih awal dan dia menganggap perkara itu sengaja ditimbulkan bagi mengganggu fokusnya dalam bidang seni.
“Saya rasa itu lebih kepada urusan kerja, apa yang saya buat, nyanyian adalah nyanyian dan kerja adalah kerja.
“Jadi bagi saya tak adil kalau nak campur adukkan sebab bukan saya seorang, semua orang ada sisinya. Jadi bila kita ke arah yang lebih baik, benda benda begini akan timbul,” ujarnya.
Bagaimana pun kata Mazleen, dia tidak pernah melarikan diri dan akan menyelesaikan segala urusan yang tertangguh pada masa yang sesuai.
“Alhamdulillah, mereka nampak saya, saya tidak ke mana-mana pun.
“Kita memang akan kembali bekerja, jadi semua urusan akan dikembalikan semula dalam kadar yang sesuai,” ujarnya
Terdahulu, sebuah portal telah menerima kiriman emel yang mendakwa Mazleen berhutang sebanyak RM3,6000 kepada seorang pembekal vendor selain mengabaikan mesej dan panggilan bagi menuntut wang.
Malah, pengirim terbabit turut menunjukkan resit duit transaksi palsu yang dipercayai daripada Mazleen.