Sekilas
- Jaa Suzuran berkongsi pengalaman pahit yang membuatkan dia lebih berhati-hati dalam mengenal hati budi seseorang, terutama selepas tindakannya dihantar mesej dan perbualan discreenshot tanpa izin.
- Pelakon itu menganggap tindakan adiknya mencari calon kakak ipar di aplikasi Threads sebagai gurauan dan tidak mengambil serius komen negatif di media sosial.
- Jaa akan muncul dalam filem Tiket Sehala yang mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan kerja luar negara, bersama pelakon dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.
Pelakon, Jaa Suzuran memaklumkan dirinya memilih untuk berhati-hati dalam mengenal hati budi seseorang.
Ujar pemilik nama Mohammad Faizal Ahmad itu, dia bukanlah terlalu memilih dalam mencari pasangan namun, pengalaman pahit yang pernah dilaluinya sebelum ini meninggalkan trauma mendalam dalam dirinya.
“Memang ada rasa takut. Sampai kadang-kadang bila kita jumpa orang yang kita suka, kita jadi takut nak cuba,” katanya kepada Gempak.
Jaa berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran filem lakonan terbaharunya yang berjudul Tiket Sehala bertempat di Confetti, Kuala Lumpur pada Isnin.
Berkongsi lanjut, Jaa memaklumkan bahawa dia pernah meluahkan hasrat untuk mengenali seorang dengan cara menghantar hantaran mesej kepadanya.
Menurut pelakon filem Soloz: Game Of Life itu, wanita tersebut bukanlah dari kalangan selebriti, namun tindakannya yang memuat naik tangkap layar (screenshot) perbualan mereka di Instastory telah mengguriskan hatinya.
Insiden itu kemudiannya membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam memulakan perbualan dengan mana-mana wanita.
“Saya cuma mesej ‘Hai, Assalamualaikum’ saja. Ikhlas nak berkenalan. Tapi dia screenshot dan muat naik di Instagram Story dan cakap 'nak try lah itu'.
“Kalau tak nak layan, tak perlu balas. Tak perlu screenshot,” luahnya.
Ditanya mengenai tindakan adik perempuannya, Raa Suzuran yang mencari calon kakak ipar di aplikasi Threads, pelakom berusia 32 tahun ini beranggapan itu hanyalah sekadar gurauan.
“Saya sebenarnya tak buka pun ruang komen Thread itu. Saya baca dan ketawa-ketawa kemudian buat tak tahu. Saya tak nak baca orang-orang yang cuba nak bahan saya.
“Bagi saya kebanyakkan mereka hanya gurau. Tak logik bagi saya kalau ada perempuan nak ‘offer’ diri macam itu. Ego perempuan biasanya tinggi. Mereka takkan jual diri begitu saja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jaa bakal tampil menerusi filem Tiket Sehala yang mengangkat kisah mengenai mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
Selain Jaa, filem yang bakal ditayangkan pada Ogos 2026 ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharifah Sakinah, Noki K-Clique, Hasnul Rahmat dan Zaki Yamani.
Lebih menarik, filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. ini turut menggabungkan pelakon dari empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Korea Selatan.