Sekilas
- D’Masiv akan mengadakan konsert jelajah ‘D’MASIV Asia Home Run’ di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November 2026 sebagai destinasi terakhir sebelum kembali ke Jakarta.
- Konsert ini menampilkan lagu popular dan karya terbaru mereka dengan konsep visual yang menonjolkan semangat Indonesia dan kisah akar umbi kumpulan.
- Tiket pra-jualan bermula 8 September 2026 dengan pelbagai kategori harga dan pakej tambahan seperti poster bertandatangan dan sesi bergambar ditawarkan.
Kumpulan popular Indonesia, D’Masiv bakal bertemu peminat Malaysia menerusi siri jelajah ‘D’MASIV Asia Home Run’ di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November 2026.
Konsert anjuran Neptunes Presents itu akan bermula pada jam 8 malam dan Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi terakhir jelajah tersebut sebelum D’Masiv kembali ke Jakarta.
Sebelum ini, D’Masiv terlebih dahulu menjelajah Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun sebelum meneruskan perjalanan mereka ke beberapa negara Asia termasuk Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Menurut Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, jelajah berkenaan bukan sekadar siri konsert, sebaliknya menjadi peluang buat mereka kembali mendekati peminat di luar negara.
Menurut Rian, mereka mahu membawa semangat yang membentuk perjalanan muzik D’Masiv sejak awal penubuhan kumpulan itu, khususnya dari Ciledug, Indonesia.
“Kami datang lagi untuk bertemu peminat di pelbagai negara dengan membawa kehangatan muzik serta tenaga yang menjadi nadi perjalanan kami.
“Kami berharap semasa konsert berlangsung, penonton akan dapat merasai keakraban, seolah-olah mereka sedang menikmati persembahan dalam keselesaan seperti di kediaman sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman berkata, Malaysia mempunyai hubungan istimewa dengan D’Masiv yang menganggap negara ini sebagai rumah kedua mereka.
Katanya, pemilihan Mega Star Arena dibuat kerana kumpulan itu mempunyai jumlah peminat yang besar di Malaysia.
D’Masiv dijangka mempersembahkan lagu-lagu popular mereka termasuk Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku, selain karya terbaharu dalam persembahan kira-kira dua jam. Konsert itu turut menampilkan konsep visual yang mengetengahkan semangat Indonesia serta kisah akar umbi kumpulan berkenaan.
Bagi tiket, ‘Early Bird’ ditawarkan secara eksklusif kepada peminat yang membuat pra-pendaftaran, manakala tiket pra-jualan mula dijual pada 8 September 2026, jam 10 pagi menerusi laman rasmi dmasivtour.com.
Harga tiket ialah Gold RM108, Platinum RM148, Festival (Berdiri) RM188, Diamond RM288 dan Super VIP RM588.
Pakej tambahan turut ditawarkan sepanjang tempoh pra-jualan iaitu poster bertandatangan bersama sesi bergambar pada harga RM100 serta Tiket Koleksi Edisi Terhad RM10. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi Instagram rasmi penganjur.