Sekilas
- Dokumentari arahan pengarah Malaysia, Poh Si Teng, berjudul American Doctor akan ditayangkan di pawagam Amerika Utara mulai Ogos ini selepas meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
- Filem ini mengisahkan tiga doktor sukarelawan Amerika yang berkhidmat di hospital di Gaza semasa serangan ketenteraan dan perjuangan mereka selepas pulang ke Amerika Syarikat.
- American Doctor memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Pilihan Penonton di Festival Filem Sydney dan Anugerah Khas Hak Asasi Manusia di CPH:DOX, serta akan mula ditayangkan di beberapa bandar utama Amerika Utara.
Selepas mengukir nama di pentas antarabangsa menerusi karya-karya terdahulu, pengarah kelahiran Malaysia, Poh Si Teng sekali lagi mencipta sejarah apabila dokumentari arahannya, American Doctor bakal ditayangkan di pawagam Amerika Utara bermula Ogos ini.
Bukan sahaja diarahkan oleh anak Malaysia yang pernah menerima pencalonan Anugerah Oscar, malah filem tersebut turut meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebelum ditayangkan kepada umum.

American Doctor mengangkat kisah tiga doktor sukarelawan dari Amerika Syarikat yang mempertaruhkan nyawa berkhidmat di hospital-hospital di Gaza ketika wilayah itu dibedil serangan ketenteraan.
Dokumentari tersebut mengikuti perjalanan Dr. Mark Perlmutter, seorang doktor berketurunan Yahudi, Dr. Thaer Ahmad yang merupakan rakyat Amerika berketurunan Palestin serta Dr. Feroze Sidhwa, rakyat Amerika berketurunan Pakistan.
Selain memaparkan usaha mereka menyelamatkan kanak-kanak Palestin yang cedera parah akibat peperangan, filem itu turut merakam perjuangan mereka selepas pulang ke Amerika Syarikat apabila tampil memberi keterangan kepada ahli politik dan media mengenai situasi sebenar yang disaksikan di Gaza.
Malah, ketiga-tiga doktor berkenaan secara terbuka menggesa kerajaan Amerika Syarikat menghentikan sokongan ketenteraan kepada Israel.
“Kita tidak perlu menerima perkara ini sebagai rakyat Amerika.
“Amerika Syarikat boleh menghentikan penghantaran bahan api jet, bom dan pelbagai jenis senjata. Ini adalah masalah politik dan memerlukan penyelesaian politik,” kata Dr. Feroze Sidhwa dalam treler rasmi dokumentari tersebut.
Dalam satu temu bual sempena tayangan perdana di Festival Filem Sundance, Dr. Mark Perlmutter menyifatkan pengalaman mereka di Gaza sebagai tragedi kemanusiaan paling dahsyat pernah disaksikan sepanjang kerjaya perubatannya.
“Kami semua pernah berada di zon bencana dan peperangan termasuk di Ukraine, Haiti serta tragedi 11 September.
“Namun pengalaman di Gaza jauh lebih buruk daripada semua itu. Kami menyaksikan jumlah kematian kanak-kanak yang paling besar sepanjang hidup kami,” katanya.
Menurut Poh Si Teng, idea menghasilkan dokumentari itu pada awalnya menerima pelbagai keraguan kerana ramai menyifatkan projek tersebut mustahil untuk direalisasikan disebabkan sensitiviti isu yang dibawa.
“Ramai memberitahu saya filem ini tidak akan berjaya dihasilkan dan mustahil untuk direalisasikan.
“Tetapi saya suka apabila orang berkata sesuatu itu mustahil kerana saya mahu buktikan sebaliknya,” katanya.
Sebelum ini, Poh Si Teng pernah menerima pencalonan Oscar menerusi dokumentari pendek St. Louis Superman selain memenangi Anugerah Emmy, meletakkannya antara pembikin filem Malaysia paling berjaya di pentas antarabangsa.
Diterbitkan bersama Kirstine Barfod dan Reem Haddad, American Doctor turut memenangi Anugerah Pilihan Penonton di Festival Filem Sydney, Australia serta Biografilm Festival di Bologna, Itali selain menerima Anugerah Khas dalam kategori Hak Asasi Manusia di CPH:DOX, Copenhagen.
Dokumentari tersebut akan memulakan tayangan di New York dan Toronto pada 14 Ogos sebelum diperluaskan ke Los Angeles, San Francisco, San Diego, Atlanta serta beberapa bandar lain di Amerika Utara sepanjang September ini.
Sumber: Deadline.com