Skip to main content

Hiburan

Dr. Fie Bakal Buat Laporan Polis Esok, Peguam Sahkan Tindakan Nubhan Langgar Undang-Undang - “Dia Tak Boleh Suka-Suka Keluarkan Barang Walau Rumah Nama Dia”

Dr. Fie

Sekilas

  • Dr. Afifah Hidayah atau Dr. Fie akan memfailkan tindakan sivil terhadap bekas suaminya, Nubhan, kerana pecah masuk rumah dan mengeluarkan barang tanpa izin.
  • Peguam Dr. Fie menegaskan tindakan Nubhan melanggar Seksyen 7 dan 8 Akta Relief Spesifik kerana rumah masih dalam prosiding tuntutan harta sepencarian.
  • Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan perceraian Nubhan dan Dr. Fie pada 2 Disember, selepas mereka berkahwin pada 2015 dan dikurniakan tiga anak.

Bekas isteri kepada Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang mesra disapa Dr. Fie bakal memfailkan tindakan sivil terhadap bekas suaminya susulan insiden pecah masuk kediaman dan mengeluarkan barang-barang tanpa izin.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Dr. Fie iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir yang memaklumkan anak guamnya bakal membuat laporan polis setibanya di tanah air, esok.

"Dr Afifah akan ambil tindakan sivil untuk ganti rugi kerana dia (Nubhan) melanggar undang-undang. Sesiapa pun, sama ada suami atau pemilik rumah, kalau sudah ada orang tinggal di rumah itu sebagai penghuni, dia tak boleh suka-suka pecah masuk atau keluarkan barang tanpa kebenaran.

"Tambah pula, dia tahu bekas isterinya sedang tuntut harta sepencarian di mahkamah. Anak-anak pula hendak tinggal di mana? Sepatutnya dia kena benarkan bekas isteri dan anak-anak terus tinggal di situ sehingga mahkamah buat keputusan.

"Kemudian pihaknya beri gambaran seolah-olah dia buat secara berhemah. Sedangkan, perbuatan itu jelas salah dan melanggar undang-undang. Sekarang ini kami boleh saman kerana dia (Nubhan) pecah masuk rumah dan keluarkan barang tanpa izin penghuni dan tanpa perintah mahkamah.

"Perkara ini juga melanggar Seksyen 7 dan 8 Akta Relief Spesifik," katanya.

Perjelas Akberdin, Dr. Die mempunyai hak untuk terus menghuni kediaman tersebut memandangkan prosiding tuntutan harta sepencarian masih berlangsung di mahkamah.

Tambah Akberdin, tindakan Nubhan yang didakwa telah memasuki rumah berkenaan serta telah mengeluarkan barangan peribadi serta menukar kunci kediamannya disifatkan sebagai telah melanggar undang-undang selaras dengan Seksyen 7 dan 8 Akta Relief Spesifik.

"Walaupun rumah itu atas nama Nubhan, dia tak boleh suka-suka keluarkan barang. Kena ikut undang-undang, ikut Seksyen 7 dan 8 Akta Relief Spesifik. Walaupun tuan punya tanah atau atau penyewa tidak bayar sewa berbulan-bulan, dia tetap tak boleh pecah masuk. Sama macam kes ini.

"Sepatutnya, dia benarkan bekas isteri masuk balik dan kalau hendak ambil barang, kena mohon. Tetapi, dia ambil kesempatan ketika anak guam saya tidak berada di Malaysia. Cara dia buat memang salah. Dia tak boleh masuk keluarkan barang-barang dan kemudian tukar kunci pula.

"Jadi, perbuatan dia melanggar undang-undang kerana dia tak dapat perintah mahkamah terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, Dr. Fie memaklumkan dirinya sudah tidak dapat menahan rasa marah lagi selepas mendakwa banrang peribadi miliknya sudah dipindahkan tanpa sebarang notis pemberitahuan.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.

Sumber: Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement