Skip to main content

Hiburan

Dr. Fie Syukur Dapat Hak Hadanah Penuh Terhadap 3 Anak - “Terima Kasih Kepada Pihak Nubhan Beri...”

Dr Fie

Sekilas

  • Dr. Afifah Hidayah, isteri kepada Nubhan, mendapat hak penjagaan penuh ketiga-tiga anak mereka selepas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
  • Dr. Afifah berasa lega dan bersyukur atas keputusan tersebut serta mengucapkan terima kasih kepada Nubhan atas kerjasama dalam menyelesaikan urusan hadanah.
  • Nubhan diberikan hak lawatan dua kali sebulan dan menyerahkan segala urusan kepada peguamnya tanpa mengulas lanjut.

Isteri kepada Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek meluahkan rasa lega dan gembira apabila hak penjagaan penuh ketiga-tiga anak berpihak kepadanya.

Menurut Afifah yang lebih mesra disapa Dr. Fie, pada awalnya dia berasa berdebar untuk menanti keputusan hadanah bagi tiga anaknya iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille berusia tiga tahun.

"Alhamdulillah rasa sangat bersyukur. Sebelum hari ini memang ada juga rasa risau tetapi selepas hakim sahkan saya peroleh hak penjagaan anak, rasa lega dan terharu.

"Saya cuma nak pengesahan daripada mahkamah, itu saja yang penting," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Dr. Fie menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak Nubhan yang memberikan kerjasama baik sehingga urusan hadanah dapat diselesaikan dengan baik.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan, beri sokongan dan juga nak ucapkan terima kasih juga kepada pihak Nubhan sebab banyak memberi kerjasama untuk selesaikan hak jagaan anak.

"Apa-apa pun keutamaan saya ketika ini memang anak-anak dan akhirnya mereka kembali kepada saya,"  katanya lagi.

Sementara itu, Nubhan ketika ditemui enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segalanya kepada peguam.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah menyerahkan hak penjagaan penuh ketiga orang anak kepada Dr. Fie dengan Nubhan diberikan hak lawatan dua kali sebulan.

Sekadar info, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad telah memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap Dr. Afifah di Mahkamah Syariah Sepang.

Nubhan kemudiannya memfailkan tuntutan hadanah penuh terhadap tiga orang anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurnikan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.

Must-Watch Video

Advertisement