Sekilas
- Drama Bahagia Yang Tertangguh mula disiarkan di Astro Ria sejak 17 November dan sudah menarik perhatian penonton dengan jalan cerita serta lakonan mantap.
- Watak antagonis Zakwan dan Kak Ju yang dimainkan oleh Izzue Islam dan Rozita Che Wan mencetuskan kemarahan penonton kerana sikap mereka yang menyakitkan hati.
- Drama ini dianggap dekat dengan realiti masyarakat dan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria serta boleh distrim di Sooka.
Drama terbaharu terbitan iFAME yang ditayangkan di Astro Ria baru sahaja disiarkan bermula 17 November lalu. Sungguhpun begitu, episod pertama sudah berjaya membuatkan penonton naik darah melihat watak-watak antagonis bagi drama ini.
Ramai penonton memuji jalan cerita serta lakonan mantap para pelakon tetapi lebih ramai pula yang ‘terbakar’ melihat dua watak yang mencetuskan huru-hara dalam drama ini iaitu Zakwan dan juga Kak Ju.
Dipegang oleh Izzue Islam, watak Zakwan merupakan seorang suami yang tidak pernah segan meminta serta menggunakan duit isteri untuk kehidupannya. Dalam masa yang sama, dia juga menggunakan tiket seorang suami serta agama untuk menundukkan isterinya, Hana yang dibawakan oleh Nad Zainal.
Bukan itu sahaja, watak Kak Ju yang dipegang Rozita Che Wan jgua tidak kurang hebat apabila dia menjadi seorang kakak ipar beracun yang telah menjadi punca kepada kehancuran rumah tangga adiknya.
Tidak hairanlah drama ini meraih perhatian ramai dan menuai komen geram para penonton yang menonton. Bahkan, ada yang mengatakan drama ini begitu dekat dengan masyarakat kerana menunjukkan realiti sebenar yang berlaku.
Dibintangi barisan pelakon hebat seperti Nad Zainal, Izzue Islam, Kamal Adli, Rozita Che Wan, Datin Seri Nina Juren, Mimi Erdina, Rosnah Johari, Riz Amin dan Adrean Mateen, Bahagia Yang Tertangguh bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan strim di Sooka.