Skip to main content

Hiburan

Drama TikTok Hello Bam Bam Bawa Kelainan, Penonton Boleh Pilih Ending Sendiri

drama

Sebuah drama bersiri TikTok berjudul Hello Bam Bam tampil dengan pendekatan segar apabila bukan sekadar menyajikan hiburan, tetapi sarat dengan mesej kesedaran sosial dan kesihatan mental.

Diterbitkan oleh MFI Group bersama penerbit Amy Mazurah, naskhah ini digarap sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengetengahkan isu-isu realiti seperti trauma kanak-kanak, depresi, buli, cubaan bunuh diri serta kezaliman sosial yang kerap berlaku dalam masyarakat.

Advertisement

Lebih menarik, penonton diberikan peluang untuk memilih pengakhiran drama ini – sama ada berakhir dengan jalan cerita “gembira” atau “sedih”, menjadikan ia sebuah karya interaktif yang dekat dengan jiwa anak muda.

“Hello Bam Bam membawa mesej bahawa Hidup Itu Struggle.. Tapi Kami Tak Give Up!,” kata Amy Mazurah ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama berkenaan.

Kisah Awin, Jojo dan Bam Bam

Drama ini mengangkat kisah Awin (Syafie Naswip), seorang khunsa yang dibelenggu trauma selepas didera dan dibuli di rumah anak yatim. Kehidupannya berubah apabila diselamatkan oleh Deddy (Azwan Ali/Diva AA), seorang pendandan rambut flamboyan yang memberinya sinar harapan baharu.

Takdir menemukan Awin dengan Jojo (Hello Angah), seorang tomboy yang pernah cuba menamatkan riwayat hidupnya kerana hilang harapan. Mereka kemudian dipertemukan dengan Bam Bam (Bang Aji), seorang kanak-kanak terbiar yang hampir menjadi mangsa sindiket meminta sedekah oleh ayahnya sendiri (Sofi Jikan).

Sejak itu, Awin dan Jojo memilih untuk menjadi “ibu” dan “ayah” kepada Bam Bam meskipun hidup dalam serba kekurangan. Namun, kebahagiaan mereka sering diuji dengan kezaliman Cik Wawa (Maria Farida), tuan rumah tamak haloba, serta dendam Black (Kodi Rasheed), bekas majikan Jojo yang mahu memusnahkan kehidupan mereka.

Sentuh Isu Realiti Sosial

Walaupun penuh konflik, Hello Bam Bam tetap menekankan semangat bangkit dan ketabahan. Antara yang menarik, Awin mula berniaga makanan melalui TikTok Live manakala Jojo pula bekerja di bengkel milik Kak Sha (Sharina Richie). Sokongan rakan-rakan serta kasih sayang terhadap Bam Bam menjadikan mereka lebih berani berdepan cabaran hidup.

Selain sarat mesej kemasyarakatan, drama ini turut memperkenalkan lagu runut bunyi berjudul Luahan nyanyian penyanyi era 90-an, Ady Wow.

Projek ini turut disokong Tourism Johor serta beberapa penaja termasuk Win Win Food Industries, Presgo Gateways, Tiger Base Camp Johor, Berjaya Waterfront Hotel, majalah Santai Travel dan Restoran KopiHut.

Hello Bam Bam dijangka menjadi buah mulut ramai kerana selain mengetengahkan barisan pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Azwan Ali, Maria Farida dan Sofi Jikan, ia juga menampilkan pempengaruh popular seperti Hello Angah, Bang Aji dan Sharina Richie.

Must-Watch Video