Skip to main content

Hiburan

Dr.Fie Buat Laporan Polis, Dakwa Wang Tunai Dan Barang Kemas Hilang

Dr. Fie

Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, membuat laporan polis terhadap bekas suaminya yang juga penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, berhubung dakwaan mengeluarkan barangan miliknya dari kediaman yang didiami bersama anak-anak mereka.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Paroi, Seremban, pada Jumaat. 

Perkara berkenaan disahkan peguam syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang memaklumkan laporan polis terbabit turut membabitkan dakwaan kehilangan wang tunai serta barangan kemas.

"Laporan polis sudah dibuat oleh anak guam saya dan kini kami menunggu tindakan lanjut pihak polis, termasuk langkah seterusnya yang akan diambil.

"Ada dakwaan kehilangan wang tunai dan barangan kemas. Polis akan merakam kenyataan terlebih dahulu sebelum menjalankan siasatan terperinci berkaitan butiran kehilangan tersebut," katanya kepada BH Online.

Menurut Akberdin, sebarang pertimbangan lanjut tidak boleh dibuat selagi siasatan polis belum selesai.

"Buat masa ini, kita tidak boleh membuat apa-apa rumusan. Biarlah polis menjalankan siasatan sepenuhnya.

"Apa yang berlaku sudah diceritakan kepada pihak berkuasa, termasuk cara barangan diambil serta dakwaan ada barangan rosak akibat pengambilan yang tidak betul.

"Oleh itu, perkara ini dibawa kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut prosedur," katanya.

Akberdin turut memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan sivil selepas anak guamnya selesai menyemak keadaan dan jumlah barangan terbabit.

"Selepas ini, saya akan mengambil tindakan sivil mengikut arahan anak guam selepas beliau membuat semakan terhadap barangan yang masih ada atau hilang," katanya.

Pada masa sama, Akberdin menjelaskan tuntutan harta sepencarian antara Dr Afifah dan Nubhan sudah difailkan di mahkamah untuk melalui proses perbicaraan.

"Buat masa ini, kami tidak mahu mencetuskan sebarang ketegangan. Apa yang perlu, kita lakukan terlebih dahulu mengikut saluran betul.

"Kes tuntutan harta sepencarian sudah difailkan dan akan diputuskan melalui mahkamah," katanya.

Konflik terbaharu antara Dr Afifah dan Nubhan tercetus apabila wanita itu mendakwa barangan di kediaman yang dihuni bersama anak-anak dicampak keluar tanpa pengetahuannya.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah sah bercerai pada 2 Disember lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.

Sumber: Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement