Sekilas
- Acara Dua Dunia, Satu Suara di Live Fact KL menggabungkan seni dakwah dan muzik underground untuk menyampaikan mesej perjuangan pembebasan Palestin.
- Program ini menekankan bahawa isu Palestin bukan sekadar bantuan kemanusiaan, tetapi perjuangan menuntut hak merdeka dan keadilan yang berterusan selama tujuh dekad.
- Pelbagai persembahan seperti muzik, puisi, nasyid, dan teater disusun secara berselang-seli untuk menyatukan dua komuniti berbeza dan memperkukuh solidariti terhadap Palestin.
Dua komuniti yang jarang bertemu, crowd seni dakwah dan crowd muzik underground, berhimpun di Live Fact KL dalam acara Dua Dunia, Satu Suara, gabungan GIG-HARD dan Palestin Bangkit pada Sabtu lalu.
Bersempena tiga tahun sejak 7 Oktober 2023, acara yang bermula dari pukul 3 petang hingga 11 malam itu membawa satu mesej yang jelas: Palestin ialah perjuangan pembebasan, bukan sekadar tragedi yang menunggu simpati.
Palestin ialah kontennya. Seni ialah pendekatannya. Muzik, puisi, nasyid dan teater hanyalah jalan untuk sampai kepada mesej yang sama: perjuangan pembebasan Palestin.
Penganjur menegaskan bahawa isu Palestin tidak boleh dikecilkan kepada bantuan makanan, ubat dan derma semata-mata.
Bantuan itu penting dan perlu diteruskan, tetapi ia merawat luka, bukan punca luka. Punca sebenar ialah pendudukan yang berlarutan lebih tujuh dekad: tanah yang dirampas, rakyat yang dihalau dan dinafikan hak pulang, sekatan ke atas Gaza, dan sistem yang memisahkan manusia mengikut identiti.
Selagi punca ini tidak ditamatkan, krisis kemanusiaan akan terus berulang. Kerana itu, acara ini mengangkat Palestin sebagai perjuangan sebuah bangsa untuk merdeka: hak menentukan nasib sendiri, hak kembali ke tanah air, dan kebebasan Masjid al-Aqsa.
Rakyat Palestin bukan mangsa yang menunggu belas kasihan; mereka bangsa yang bertahan, membina semula dan terus menuntut keadilan. Tiga tahun ini juga menunjukkan bahawa solidariti boleh menggerakkan dunia.
Dua Dunia, Satu Suara menyusun segmen ‘putih’ (seni dakwah) dan ‘hitam’ (muzik alternatif) secara berselang-seli. Puisi dan monolog berjalan sementara band seterusnya bersedia, supaya kedua-dua crowd kekal di dewan dan menghayati persembahan satu sama lain.
Penampilan khas daripada pelawak Saiful Apek, kumpulan Nasyid, Fetya dan beberapa buah band iaitu Late Night Frequency (akustik), Maddame, Color Heart, As Our Throne, T ebabo! dan Jemson sebagai penutup teater dan monolog: Monolog Fajar, Aku Masih Bernafas, Fitnah Dajjal dan Monolog Rafa, Puisi: Kongsi Puisi dan Thaurah Palestin.
Format ini sengaja dipilih untuk membawa mesej Palestin keluar daripada ruang yang biasa. Crowd underground menemui seni dakwah, crowd dakwah mengenali seni alternatif, dan kedua-duanya pulang dengan satu kefahaman yang sama.
Selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Komuniti Dakwah Dan Tarbiah, Naim Rais berkata; "Kita sering melihat Palestin hanya melalui gambar runtuhan dan kotak bantuan. Itu benar, tetapi itu bukan keseluruhan cerita.
“Palestin ialah sebuah bangsa yang sedang memperjuangkan kemerdekaannya. Malam itu, seni dakwah dan muzik underground berdiri di pentas yang sama kerana kami percaya perjuangan ini milik semua, tanpa mengira dari mana kita datang.
"Palestin ialah konten kami; seni hanyalah pendekatan. Kami tidak mahu orang pulang dengan rasa sedih sahaja. Kami mahu mereka pulang dengan tekad: terus bersuara, terus memboikot, dan terus mendidik orang di sekeliling tentang punca sebenar penderitaan ini.”