Dua kumpulan legenda muzik Indonesia, Radja dan Wali, bakal bersatu dalam sebuah konsert mega diberi nama Pentas RadjaWali Live in Malaysia yang dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Gabungan dua nama besar ini dijangka mencetus fenomena tersendiri memandangkan kedua-duanya mempunyai pengikut yang besar di Malaysia dan serantau.
Advertisement
Menurut Radja, mereka amat berterima kasih atas peluang untuk kembali beraksi di hadapan peminat tempatan
“Malaysia sentiasa dekat di hati kami. Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula di Malaysia.
“Kami janji akan berikan persembahan terbaik buat semua yang hadir,” kata Radja.
Kumpulan Wali yang ditubuhkan pada tahun 1999 dan dianggotai oleh Faank (vokalis utama), Apoy (gitar & komposer), Ovie (keyboard) serta Tommy (dram) turut berkongsi rasa teruja mereka untuk bertemu peminat Malaysia.
“Kami sentiasa rasa dihargai bila datang ke Malaysia. Sambutan peminat di sini luar biasa. Untuk konsert ini, kami akan tampil dengan persembahan berbeza dan lebih dekat dengan penonton,” ujar mereka.
Konsert ini menjanjikan persembahan penuh tenaga dan nostalgia dengan deretan lagu popular yang masih menjadi siulan hingga kini.
Bagi kumpulan Radja, peminat bakal dihiburkan dengan lagu-lagu malar segar seperti Jujur, Tulus, Bulan dan Cinderella.
Manakala kumpulan Wali pula akan membawa penonton mengimbau kenangan dengan lagu hit mereka termasuk Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yunk, Doaku Untukmu Sayang dan Tomat (Tobat Maksiat).
Dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram), kumpulan Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001 itu mengakui sudah lama merindui pentas Malaysia.
Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama.
Tiket mula dijual hari ini menerusi Fantopia.io serta boleh dibeli menggunakan ShopeePay. Harga tiket bermula daripada RM177 hingga RM977 bergantung kepada kategori tempat duduk.

Penganjur menjangkakan tiket bakal habis dijual dalam masa terdekat memandangkan konsert ini merupakan kolaborasi pertama antara dua kumpulan besar Nusantara di atas satu pentas.