Skip to main content

Berita Tempatan

Dua Minggu Hujan, Lokasi Jadi Lautan Lumpur! Pelakon ‘Peluru Senja’ Berdepan Ular & Kala Jengking

Dua Minggu Hujan, Lokasi Jadi Lautan Lumpur! Pelakon ‘Peluru Senja’ Berdepan Ular & Kala Jengking

Sekilas

  • Pelakon filem ‘Peluru Senja’ berdepan cabaran besar termasuk berkongsi lokasi penggambaran dengan ular, kala jengking dan cicak besar di Bali, Indonesia.
  • Filem ini menghidupkan latar Tanah Melayu 1948 dengan pendekatan moden melalui elemen aksi thriller, sinematografi berani dan muzik bertenaga.
  • ‘Peluru Senja’ yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar akan ditayangkan di pawagam mulai 28 Ogos, bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Advertisement

Bukan sekadar perlu menjayakan babak aksi mencabar, barisan pelakon filem ‘Peluru Senja’ turut berdepan pengalaman mendebarkan apabila terpaksa berkongsi lokasi penggambaran dengan ular, kala jengking dan cicak besar.

Pengalaman itu dilalui ketika penggambaran dilakukan di Bali, Indonesia bagi menghidupkan latar Tanah Melayu pada tahun 1948.

Advertisement

Menurut pelakon Fabian Loo, antara pengalaman yang paling sukar dilupakan adalah ketika menjayakan babak serang hendap di sebuah kawasan hutan.

Apa yang pada awalnya dilihat sebagai lokasi sesuai ketika proses tinjauan berubah sama sekali selepas hujan turun tanpa henti selama dua minggu sehingga kawasan berkenaan dipenuhi lumpur.

“Jika diingat balik saya sendiri tidak sangka kami sanggup lakukan (ketawa). Realiti ketika tinjauan lokasi dan hari penggambaran sangat berbeza. Ketika tinjauan lokasi, produksi jumpa satu kawasan hutan yang sesuai untuk babak serangan hendap.

“Tapi dua minggu hujan turun tanpa henti telah mengubah lokasi tersebut menjadi lumpur. Suka atau tidak, kami semua terpaksa bergelut dengan keadaan itu sambil ditemani ular, cicak yang besar dan kala jengking yang sebenar.

“Memang terasa seperti mimpi ngeri, tetapi mujurlah tiada sesiapa yang cedera sepanjang penggambaran berlangsung,” kata Fabian yang memegang watak sebagai Chin Liu.

Cabaran tersebut secara tidak langsung menyaksikan barisan pelakon perlu mempunyai ketahanan fizikal sebenar untuk menjayakan babak yang bakal dipaparkan di layar lebar, bukan semata-mata bergantung kepada efek atau visual.

Dalam pada itu, pelakon dari Indonesia, Asmara Abigail berkata, pihak produksi sejak awal mahu memastikan ‘Peluru Senja’ tidak tampil seperti sebuah ‘kelas sejarah’ yang berat untuk ditonton terutama oleh generasi muda.

Sebaliknya, kisah berlatarbelakangkan tahun 1948 itu diberikan pendekatan lebih moden menerusi elemen aksi thriller, sinematografi berani, efek terkini serta muzik lebih bertenaga.

Menariknya, pembikinan filem tersebut turut menghimpunkan pelakon dan kru daripada beberapa negara serta latar budaya berbeza.

Bagi Asmara, pengalaman itu bukan sekadar memberikan peluang untuk menghasilkan sebuah karya bersama, malah membolehkan sebahagian daripada mereka mengenali sejarah dan budaya Malaysia dengan lebih dekat.

“Walaupun barisan kru dan pelakon filem ini dibarisi oleh pasukan antarabangsa, kami sangat akrab antara satu sama lain sejak awal penggambaran. Paling menarik adalah pelakon dari Amerika Syarikat, Brett, sebelum ini tidak pernah mempelajari sejarah Perang Dunia Kedua dari perspektif Malaysia.

“Menerusi filem ini, Brett belajar banyak tentang sejarah dan budaya Malaysia. Jadi, Peluru Senja bukan sekadar projek lakonan untuk kami, tetapi lebih daripada itu,” tutur Asmara yang membawakan watak bernama Siti.

Untuk rekod, ‘Peluru Senja’ atau ‘The Ghost & the Gun’ merupakan sebuah karya fiksyen yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1948.

Diarahkan oleh Anshul Tiwari, filem itu dibintangi Asmara Abigail, Fabian Loo, Hazman Al Idrus dan Brett Tutor.

‘Peluru Senja’ bakal menemui penonton di pawagam mulai 28 Ogos ini, bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Filem bertaraf antarabangsa itu diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn. Bhd. dan diterbitkan Ghost and Gun Limited dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures dan Viking Sunset Studios.

Anda mungkin berminat dengan

Arai Quantic Dark Citizen

Arai Quantic Dark Citizen

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

Yonex OCM 2025 Men's Training Tee 3525

PUMA Portugal '25 Home Men's Soccer Jersey

PUMA Portugal '25 Home Men's Soccer Jersey

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

SHEGLAM Camera On Smooth Blur Primer Smooth Poreless Moisturizing Face Base

PUMA BMW M Motorsport Essentials Logo Tee Men

PUMA BMW M Motorsport Essentials Logo Tee Men

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

Must Watch Video

Advertisement