Sekilas
- D’Herbs Holding Sdn. Bhd milik Datuk Seri Aliff Syukri menjadi penyumbang zakat tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor bagi tahun 2025.
- Aliff Syukri berkongsi rasa syukur kerana perniagaannya yang berjaya dapat membantu golongan memerlukan melalui zakat.
- Aliff dan isterinya menyeru mereka yang layak supaya menunaikan zakat untuk membantu golongan susah di luar sana.
Syarikat milik usahawan dan pempengaruh, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu D’Herbs Holding Sdn. Bhd menjadi penyumbang zakat tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun 2025.
Menurut Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida, mereka berasa bersyukur kerana keuntungan yang dikecapi melalui perniagaan mereka dapat disalurkan kepada yang memerlukan.
Justeru, Aliff dan Shahida menzahirkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan mereka.
“Boleh dikatakan tahun ini rezeki kami melimpah ruah dari penjualan jeruk mangga sehinggalah kami dapat pecahkan rekod jualan beg terpantas dan sebagainya.
“Ribuan terima kasih juga saya nak ucapkan kepada pembeli dan pelanggan saya sebab kalian juga adalah penyumbang sebenarnya.
“Terima kasih sebab masih lagi menyokong perniagaan kami meskipun sudah 20 tahun berniaga,” katanya kepada Gempak.
Aliff dan Shahida berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada mMajlis Iktiraf Muzakki Dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) anjuran LZS bertempat di Shah Alam, pada Selasa.
Bercerita lanjut, Aliff yang juga pernah menjadi penerima zakat berasa sangat berbangga dengan diri sendiri kerana dapat menjadi antara penyumbang tertinggi di Selangor.
“Bila LZS bagitahu yang syarikat saya penyumbang zakat tertinggi, kita rasa bangga. Berbangga bukan sebab apa tapi sebab saya ini dulunya tak pandai sekolah dan gagal SPM.
“Dahulunya, saya penerima zakat dan hari ini pula saya penyumbang zakat tertinggi.
“Ketika kecil saya dapat bantuan zakat pelajaran seperti barang kelengkapan sekolah serta makanan. Saya juga pernah dapat basikal.
“Sebab itu saya kata jangan dipandang bahawa orang susah tak boleh berjaya. Mereka di luar sana yang susah juga berpeluang untuk berjaya,” kongsinya.
Dalam pada itu, Aliff dan Shahida menyeru kepada mereka yang layak untuk membayar zakat agar dapat membantu ramai golongan yang susah di luar sana.
“Kepada mereka di luar sana, tanamkan azam untuk membayar zakat dan membantu orang susah.
“Kami juga menyeru kepada mereka yang mampu dan layak, bayarlah zakat untuk membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya.