Sekilas
- Datuk Amy Search mengakui tidak percaya pada ilmu hitam sehingga mengalami sendiri kejadian tersebut sekitar tahun 2010.
- Pengalaman itu menyebabkan Amy rasa takut sehingga menjejaskan persembahannya di atas pentas.
- Amy mendapatkan rawatan ustaz dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa membaca Ayat Kursi dan mendekatkan diri dengan Allah sebagai pelindung.
Penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search mengakui dirinya tidak percaya mengenai perkara berkaitan ilmu hitam meskipun selepas berpuluh tahun bergelar anak seni.
Walau bagaimanapun, pemilik nama Suhaimi Abdul Rahman ini memaklumkan pendiriannya itu mula berubah selepas berdepan dengan perkara itu sekitar penghujung tahun 2000-an.
"Sememangnya dulu saya tak pernah percaya sebab dah lama saya menyanyi, berpuluh tahun tak pernah terjadi.
“Tapi akhir tahun 2000 dalam 2010, lebih kurang macam tu baru saya alami benda tuz
“Dah berpuluh tahun tak pernah percaya, sekali dah kena baru macam, ‘Oh ada rupanya’,” katanya kepada Gempak.
Amy berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem 5 Bomoh, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai pengalamannya itu, pelantun lagu Isabella ini memaklumkan dia pernah berdepan rasa takut ketika sehingga menjejaskan persembahannya.
“Ketika berdepan kejadian itu, saya sampai rasa masa ‘flat’ atas lantai. Rasa ketakutan.
“Bila naik pentas rasa takut, nak menyanyi tapi tak tahu nak menyanyi macam mana. Rasa berdebar-debar. Boleh dikatakan saya tak jadi diri sendiri,” kongsinya.
Tambah Amy, dia kemudiannya berjumpa dengan ustaz bagi merawat perkara tersebut sehingga bertahun lamanya.
Dalam masa yang sama, Amy menasihatkan orang ramai agar sentiasa mendekatkan diri dengan Allah serta mengamalkan ayat suci al-Quran sebagai pelindung diri.
“Saya ada pergi berubat, berjumpa dengan ustaz. Memang lama prosesnya.
“Untuk elakkan perkara ini, kita kena selalu baca Ayat Kursi dan berserah kepada Allah. Itu yang penting,” katanya.