Skip to main content

Hiburan

El Coro Ensemble Unggul Di MCE 2025, Rangkul Emas & Juara Kategori Pop Vocal Ensemble

El Coro Ensemble

Kumpulan vokal dinamik tanah air, El Coro Ensemble, telah mencipta sejarah tersendiri apabila mengharumkan nama Malaysia di pentas Malaysian Choral Eisteddfod (MCE) International Choir Festival 2025, yang berlangsung dari 5 hingga 9 November 2025 di Kuala Lumpur.

Di bawah pimpinan Cikgu Azrin Noor, El Coro Ensemble berjaya membawa pulang Pingat Emas dan gelaran Juara Kategori bagi Pop Vocal Ensemble (Kategori B5), selain menerima anugerah Outstanding Malaysian Choir untuk kategori sama. 

Kumpulan ini turut melangkah ke peringkat akhir sebagai salah satu Finalis Grand Prix, antara kumpulan terbaik keseluruhan festival berprestij tersebut di Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC.

Membawa semangat juang tinggi, El Coro Ensemble tampil dengan persembahan bertenaga melalui tiga buah lagu iaitu “Sutera” (Aisha Retno), “Putri Iklan”, dan “Spain”. 

Persembahan mereka bukan sekadar nyanyian harmoni, tetapi turut disertai koreografi yang penuh bertenaga, sehingga memukau barisan juri serta penonton.

Dalam saingan sengit yang melibatkan tujuh pasukan hebat, termasuk kumpulan dari Indonesia, Hong Kong dan Malaysia. El Coro Ensemble tetap menyerlah dengan gaya persembahan tersendiri yang menggabungkan keindahan vokal dan kecekapan pentas yang mengagumkan.

Menurut konduktor Cikgu Azrin Noor, pencapaian ini adalah hasil disiplin dan dedikasi setiap ahli kumpulan.

Malaysian Choral Eisteddfod (MCE), anjuran Young Choral Academy (YCA), merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan kumpulan koir terbaik dari serata dunia untuk meraikan keindahan seni suara harmoni.

Kejayaan El Coro Ensemble ini bukan sahaja mengangkat nama kumpulan tersebut, tetapi juga membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu berdiri setanding di pentas global.

Must-Watch Video

Advertisement