Sekilas
- Elizabeth Tan dan suaminya, Dr. Siew Jim Ding, masih belum dikurniakan cahaya mata selepas dua tahun berkahwin, menyebabkan Elizabeth berasa kecewa dan tertekan secara emosi.
- Elizabeth sedang belajar menerima ketentuan Tuhan dan berharap dapat hamil segera supaya anaknya dapat mengenali datuk dan nenek yang sudah berusia.
- Elizabeth bakal beraksi dalam filem aksi antarabangsa Black Ops, hasil kerjasama produksi Malaysia dan Hong Kong, yang menampilkan barisan pelakon hebat dari kedua-dua negara.
Aktres dan penyanyi Elizabeth Tan meluahkan rasa kecewa apabila dia dan suaminya, Dr. Siew Jim Ding, masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, 33, mengakui situasi tersebut memberi kesan emosi kepadanya, lebih-lebih lagi apabila melihat rakan-rakan sebayanya sudah bergelar ibu.
“Kami sudah dua tahun mencuba. Masih belum ada rezeki untuk memiliki zuriat.
“Tahun ini saya berusia 33 tahun. Ramai yang menasihatkan saya, termasuk doktor, supaya berusaha untuk hamil sebelum umur saya mencecah 35 tahun,” katanya.
Menurut pelantun lagu Knock Knock itu, dia turut berdepan tekanan dalaman sehingga timbul perasaan rendah diri dan tertanya-tanya punca sebenar kegagalannya untuk hamil.
“Kadang kala saya malu dengan kawan-kawan yang sudah memiliki anak. Saya pernah persoalkan kenapa saya tidak seperti mereka, mudah dapat cahaya mata?
“Saya tak tahu apa masalah tubuh saya. Saringan kesihatan telah saya buat dan keputusannya okey. Jadi saya pun tertanya-tanya, kenapa?” luahnya.
Tambah Elizabeth, perasaan kecewa itu semakin dirasai setiap kali keputusan ujian kehamilan tidak seperti yang diharapkan.
“Kalau ditanya tentang perasaan, jujurnya memang ada rasa kecewa sebab sudah dua tahun berkahwin.
“Setiap kali semak kehamilan, keputusannya negatif,” katanya jujur.
Bagaimanapun, Elizabeth berkata dia kini sedang belajar untuk menerima takdir dengan hati yang terbuka dan percaya setiap ketentuan Allah mempunyai hikmah tersendiri.
“Apa pun, saya sedang belajar untuk reda dengan ketentuan Tuhan. Mungkin ada sebabnya saya belum diberikan anak.
“Atau mungkin kalau saya hamil, saya tak dapat terlibat dalam filem Black Ops,” kongsinya lagi.
Mengulas lanjut tentang keinginannya untuk segera menimang cahaya mata, Elizabeth berkata faktor usia ibu bapanya turut mendorong harapan tersebut.
“Saya mahu anak-anak saya kenal datuk dan nenek mereka. Sekarang usia ayah saya sudah 70 tahun.
“Sebab itu, kalau boleh saya mahu hamil secepat mungkin,” katanya.
Menerusi perkembangan lain, Elizabeth Tan bakal muncul dalam filem aksi rentas negara Malaysia-Hongkong berjudul Black Ops.
Filem terbitan bersama Skop Productions, Enotech, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, Astro Shaw dan GSC itu turut melibatkan kerjasama One Cool Films milik bintang terkenal Hong Kong, Louis Koo, sekali gus menandakan kolaborasi pertama antara syarikat produksi Malaysia dan Hong Kong berkenaan.
Lebih mengujakan, Black Ops diarahkan oleh dua pengarah berkaliber tinggi iaitu Syafiq Yusof dari Malaysia dan Chui Tze Yui dari Hong Kong, menjadikan filem ini simbol hubungan kreatif sinema dua negara.
Sebagai projek bertaraf antarabangsa, Black Ops menghimpunkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Hong Kong antaranya Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Datuk Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq, Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken), Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan serta pelakon kanak-kanak, Rania Amanda.