Sekilas
- Elly Mazlein bersyukur anak sulungnya, Sefhia, berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan semua subjek mendapat gred A.
- Elly dan suami berbangga dengan pencapaian itu dan berusaha keras memastikan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka.
- Elly mengambil inisiatif memberikan tuisyen Bahasa Melayu kepada Sefhia untuk memperbaiki penguasaan bahasa tersebut walaupun pencapaian lain sudah baik.
Penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein meluahkan rasa syukur apabila anak sulungnya, Sefhia berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan meraih gred A bagi semua subjek.
Menurut Elly, pencapaian itu menjadi kebanggaan buat dirinya dan suami memandangkan segala usaha keras yang dilakukan selama ini adalah demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik untuk masa depan mereka.
“Alhamdulillah, saya bersyukur Sefhia dapat semua subjek straight A, saya sebagai mama dan suami saya memang sangat berbangga.
“Apa yang kami cuba buat, saya kerja bagai nak gila ini semua untuk anak-anak. Kita nak cuba bagi education untuk anak kita
“Jadi anak saya dapat keputusan begitu, nikmat apa lagi yang saya dustakan. Saya sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui semasa program MeleTOP pada Selasa.
Walaupun berpuas hati dengan pencapaian anaknya, Elly berkata dia tetap mengambil inisiatif untuk membantu Sefhia memperbaiki aspek yang masih boleh dipertingkatkan, khususnya dalam penguasaan Bahasa Melayu.
“Sekarang ini pun saya tengok mana markah dia yang rendah sikit, saya dah mula ambil tuisyen bahasa melayu.
“Tujuannya adalah untuk dia lebih bagus dalam penguasaan bahasa itu sebab mata pelajaran lain dia okay,” jelasnya.
Berkongsi mengenai cara mendidik anak, Elly berkata dia akan sentiasa menghubungi Sefhia menerusi panggilan video setiap kali keluar bekerja bagi memastikan perkembangan persekolahan anaknya sentiasa dipantau.
“Kalau saya pergi bekerja, saya akan video call dia tanya macam mana dengan sekolah dia dan dia akan jawab semuanya baik mama.
“Saya akan tanya homework dia bagaimana, buat atau tidak, saya akan tanya update dia.
“Sebab anak saya, Sefhia ni masa zaman pkp, ketika itu usia dia empat tahun. Jadi macam saya, saya lebih suka bercakap secara bersemuka atau one to one.
“Tetapi Sefhia, dia sudah terbiasa dengan visual meeting, jadi memang bila tuisyen pun kena secara online dan dia boleh terima, dia cepat tangkap dan faham,” kongsinya.