Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, terpaksa tangguh bulan madu kerana sidang Parlimen bermula minggu depan hingga awal Disember.
- Bella Astillah, isteri Syed Saddiq, lebih sibuk dengan komitmen kerja termasuk konsert dan penggambaran selepas berkahwin.
- Mereka juga perlu belajar membahagikan masa bersama anak-anak Bella, Ara dan Ayden, sambil menguruskan kerjaya masing-masing.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui terpaksa menangguhkan perancangan berbulan madu selepas mendirikan rumah tangga dengan bakal isterinya, Bella Astillah.
Jelas Syed Saddiq, perkara itu terpaksa dilakukan kerana sidang Parlimen akan bermula minggu depan dan dijadualkan berlangsung sehingga awal Disember, sekali gus menyukarkan mereka untuk terus berbulan madu seperti pasangan pengantin lain.
“Mungkin selepas berkahwin, kami berbulan madu di Parlimen. Gurau sahaja.
“Parlimen bermula minggu depan dan berakhir awal Disember. Orang lain mungkin selepas berkahwin terus pergi berbulan madu, tetapi kami tidak dapat berbuat demikian.
“Saya sudah memaklumkan perkara itu kepada bakal isteri dan dia sangat memahami bidang kerja saya. Saya sangat bertuah memilikinya sebagai bakal isteri. Saya tidak mahu mengabaikan atau ponteng Parlimen semata-mata untuk berbulan madu. Setakat ini, kehadiran dan penglibatan saya di Parlimen masih 100 peratus.
“Jadi, mungkin kami akan tangguhkan dahulu perancangan tersebut sehingga tanggungjawab selesai,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengakui Bella sebenarnya lebih sibuk berbanding dirinya memandangkan isterinya itu sudah mempunyai beberapa komitmen kerja selepas mereka berkahwin.
“ Sebenarnya, Bella lebih workaholic daripada saya. Selepas berkahwin pun dia sudah mempunyai konsert di luar negara, persembahan dan penggambaran sebagai duta jenama.
“Kalau boleh, saya mahu mengikutinya. Tetapi sekiranya bertembung dengan sidang Parlimen, saya perlu memberikan fokus kepada tanggungjawab hakiki,” ujarnya.
Tambah Syed Saddiq, dalam kesibukan menguruskan kerjaya masing-masing, mereka juga perlu memastikan masa bersama anak-anak Bella, Ara dan Ayden tidak terabai.
Katanya, sebagai sebuah keluarga baharu, mereka perlu belajar untuk membahagikan masa dengan sebaiknya selain berbincang mengenai komitmen masing-masing.
“Dalam menyeimbangkan kerjaya profesional masing-masing, kami juga tidak boleh melupakan Ara dan Ayden yang memerlukan kasih sayang.
“Kami perlu duduk berbincang dan membahagikan masa. Sebagai sebuah keluarga baharu, sedikit sebanyak kami akan belajar,” katanya.