Sekilas
- Syed Saddiq dan Bella Astillah merancang majlis perkahwinan yang sederhana dan mengutamakan pengurusan kewangan yang bijak tanpa berhabis untuk kemewahan semata-mata.
- Majlis di Kuala Lumpur akan diadakan secara kecil dengan hanya 200 tetamu, manakala kenduri rakyat di Muar dan Sabah turut dianjurkan untuk meraikan bersama orang ramai.
- Pelbagai jenama korporat menyumbang keperluan asas bernilai sekitar RM300,000 untuk kenduri rakyat, sebagai usaha meringankan beban masyarakat sempena hari bahagia mereka.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengakui tidak mahu berhabisan terlalu banyak untuk majlisnya bersama bakal isteri, Bella Astillah.
Menurut Syed Saddiq, dia mengambil serius soal pengurusan kewangan dalam merancang majlis perkahwinan mereka
“Jangan menggadaikan simpanan hanya untuk kemewahan sehari hingga menanggung hutang berdekad-dekad.”
“Saya kongsikan dengan bakal isteri saya, kita buat yang terbaik sebab nak hantar mesej yang baik. Saya adalah orang yang bercakap berdasarkan data, jadi saya pandang perkara ini secara serius,” katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, Syed Saddiq juga berkongsi majlis yang akan diadakan di ibu negara, mereka bersetuju untuk mengadakannya dalam skala kecil dan hanya membabitkan rakan rapat serta peminat.
“Saya minta maaf sekiranya ada yang tak mendapat jemputan secara fizikal. Bukan sebab Bella, tapi saya. Saya yang bertindak sebagai pengawal kewangan.
“Mujur pihak media seperti Astro ada buat liputan secara langsung, jadi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal boleh menonton di televisyen atau dalam talian.
“Jika tidak dapat hadir di Kuala Lumpur, dijemput datang ke kenduri rakyat di Muar dan Sabah,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq,pada Jumaat.
Sementara itu, Bella juga memaklumkan majlis di Kuala Lumpur dirancang sebagai majlis ramah mesra istimewa yang hanya memuatkan 200 orang tetamu.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai majlis berkenaan akan dikongsikan kemudian.
Mengulas mengenai penganjuran Kenduri Rakyat pula, Syed Saddiq berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada pelbagai jenama korporat yang menyumbangkan keperluan asas untuk menjayakan majlis berkenaan.
“Kami bekerjasama dengan banyak jenama seperti Jasmine yang menyumbang puluhan ribu kilogram bahan asas seperti beras, santan dan ketupat untuk kenduri rakyat. Nilainya dianggarkan sekurang-kurangnya RM300,000.
“Daripada meminta wang tunai, lebih baik kita ringankan beban orang ramai sambil meraikan hari bahagia ini bersama-sama,” katanya.
Syed Saddiq dan Bella bakal melangsungkan majlis akad nikah pada 10 Oktober.
Majlis resepsi di Muar pula akan berlangsung pada 25 Oktober, manakala resepsi di Kota Kinabalu dijadualkan pada 31 Oktober.