Sekilas
- Ernie Zakri mengakui masih mencari formula terbaik untuk kekal relevan dalam industri muzik yang sentiasa berubah sejak dia mula aktif pada usia 17 tahun.
- Dia sedar pentingnya tidak terlalu selesa dengan kejayaan dan sentiasa merancang langkah seterusnya selepas melancarkan lagu baru.
- Ernie juga menyedari persaingan sengit dengan kemunculan penyanyi wanita baru dan menekankan perlunya strategi untuk terus bertahan dalam industri.
Meskipun nama sudah kukuh sebagai penyanyi wanita terkenal tanah air, Ernie Zakri mengakui dirinya masih mencari formula terbaik untuk kekal relevan dalam industri hiburan yang sentiasa berubah.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata perjalanan dalam dunia seni sejak usia remaja membuatkan dia menyedari betapa pantas arus perubahan berlaku dalam industri muzik.
"Sampai sekarang saya masih mencari formula untuk kekal relevan dalam industri. Sejak mula bergiat aktif dari umur 17 sehingga sekarang, saya lihat ramai penyanyi datang dan pergi.
"Ketika ada di antara mereka berada di puncak, saya sangat mengidolakan. Tetapi sedang berada di puncak, tiba-tiba mereka hilang sekelip mata. Itu antara ketakutan yang paling dalam saya,” katanya.
Ernie berkongsi perkara itu menerusi video temu bual bersama Nona dalam segmen Pesona yang dimuat naik di TikTok.
Menurut Bintang Paling Popular itu, perasaan takut yang timbul bukan bermaksud dia tamak atau tidak bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, sebaliknya kesedaran untuk sentiasa berpijak di bumi nyata.
"Bukan kata saya tamak atau tidak bersyukur dengan apa yang Allah beri, tetapi sehingga sekarang saya masih mencari formula itu. Saya tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang sudah dikecapi.
"Setiap kali selepas melancarkan lagu, saya akan fikir apa langkah seterusnya. Bukan bermakna saya susah untuk berasa cukup, tetapi saya perlu sedar bumi ini sentiasa berpusing,” katanya.
Tambah isteri kepada penyanyi Syamel ini, persaingan dalam industri muzik akan sentiasa wujud, terutamanya dengan kemunculan ramai penyanyi baharu yang berbakat.
"Akan ada lagi dua atau tiga tahun akan datang, pasti muncul ramai penyanyi wanita yang hebat. Jadi bagaimana saya boleh kekal dalam industri dengan baik adalah dengan sentiasa memikirkan strategi,” ujarnya.
Sumber - TikTok